COVID-19: Pelancong Itali di India dikuarantin

NEW DELHI, 4 MAC – Sekumpulan pelancong Itali dikuarantin di India hari ini dengan 16 diuji positif dijangkiti koronavirus baharu itu, mencetuskan pihak berkuasa untuk memperketatkan kawalan.

Korban COVID-19 di Itali mencecah 79 orang manakala lebih 2,500 dijangkiti, sementara kes India kekal 28 – termasuk warga Itali dan pemandu India mereka.

Mengesahkan kes baharu itu, Menteri Kesihatan Harsh Vardhan berkata hari ini bahawa para penumpang dalam semua penerbangan antarabangsa kini akan diimbas.

Pengunjung dari Itali, Iran, Korea Selatan dan Jepun – kecuali diplomat dan para pegawai dari badan-badan antarabangsa – sudah pun ditegah, kelmarin, bersama mereka yang datang dari China bulan lalu.

Vardhan berkata suami isteri dalam kumpulan Itali – yang tiba bulan lalu dan jumlahnya sekitar 20 – jatuh sakit semasa melawat negeri barat Rajasthan, destinasi pelancongan popular.

Yang selebihnya telah dipindahkan ke pusat kuarantin di New Delhi, di mana 14 anggota bersama pemandu India mereka disahkan telah dijangkiti.

“Kami sedang menunggu keputusan ujian yang lainnya,” kata sumber kepada AFP. – AFP

Pelancong muda memakai topeng wajah sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan wabak COVID-19 di Stesen Landasan Kereta api Bangalore pada 4 Mac. – AFP