COVID-19: pendapatan pelancongan terjejas

Oleh Azlan Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Bank Pembangunan Asia (ADB) menganggarkan wabak koronavirus COVID-19 boleh mengakibatkan kemerosotan dalam pendapatan pelancongan bagi negara-negara Asia Pasifik termasuk Brunei Darussalam dengan kira-kira -0.086 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam senario terbaik (AS$-11.7 juta) manakala -0.113 peratus (AS$-15.3 juta) dalam kes sederhana dan -0.192 peratus dalam kes terburuk (AS$-26.1 juta).

Perkara itu diutarakan oleh ADB baru-baru ini, menekankan bahawa COVID-19 boleh mengurangkan KDNK global kepada 0.1 hingga 0.4 peratus dengan ramalan kerugian kewangan mencecah antara $77 bilion dan $347 bilion.

Dalam laporan bertajuk The Economic Impact of the COVID-19 Outbreak on Developing Asia, ADB mengatakan pertumbuhan ekonomi di China dan negara-negara membangun Asia boleh berkurangan masing-masingnya 0.3 peratus sehingga 1.7 peratus dan 0.2 peratus sehingga 0.5 peratus.

“Terdapat banyak ketidakpastian mengenai COVID-19 termasuk impak ekonominya,” kata Ketua ADB, Yasuyuki Sawada. “Ini memerlukan pendekatan pelbagai senario untuk memberikan gambaran jelas mengenai potensi kerugian. Kami berharap analisis ini boleh menyokong kerajaan-kerajaan di Asia Pasifik ketika mereka mempertimbangkan keputusan dan respons jelas bagi meringankan impak manusia dan ekonomi wabak ini.”

Memandangkan ketidaktentuan besar, ADB memberikan beberapa senario seperti kes terbaik, kes sederhana dan kes terburuk serta hipotesis kes terburuk untuk menilai impak COVID-19 ke atas pelbagai negara-negara membangun di Asia.

Coklat berbentuk virus COVID-19 yang dicipta oleh seorang cef Perancis. Virus tersebut diramalkan menjejaskan pelancongan di seluruh China dan Asia Pasifik termasuk Brunei Darussalam, menurut jangkaan ADB dalam laporan ekonomi yang dikeluarkan baru-baru ini. – Gambar AFP

Senario kes terbaik adalah apabila pelancongan luar menurun 50 peratus selama dua bulan.

Bagi negara-negara yang mengenakan larangan perjalanan, tidak akan menerima hasil pendapatan pelancongan dari Republik Rakyat China selama dua bulan.

Satu kes sederhana pula adalah di mana sikap berwaspada dan sekatan seperti larangan perjalanan mula dilonggarkan tiga bulan selepas ia dilaksanakan dalam lewat Januari.

Manakala senario kes terburuk adalah apabila pelancongan luar menurun 50 peratus selama enam bulan. Bagi negara-negara yang mengenakan larangan perjalanan, tidak akan ada pendapatan hasil pelancongan dari Republik Rakyat China selama enam bulan.

Penularan berterusan COVID-19 menjejaskan Republik Rakyat China dan negara-negara membangun Asia lain melalui pelbagai rangkaian, termasuk penurunan mendadak permintaan domestik, pengurangan perjalanan pelancongan dan perniagaan dan perjalanan produk berkaitan, gangguan bekalan dan kesan kesihatan.

Satu lagi rangkaian lain yang penting yang akan menjejaskan China dan negara-negara Asia ialah pelancongan dan perjalanan perniagaan. Pelancongan merupakan sumber pendapatan penting bagi kebanyakan ekonomi di negara-negara Asia – pendapatan hasil pelancongan antarabangsa menjana lebih 40 peratus KDNK dalam negara-negara seperti Palau dan Maldives contohnya. Pelancongan dan perjalanan perniagaan (termasuk perjalanan domestik) melebihi 10 peratus KDNK dalam kebanyakan separuh ahli ADB.

Apa yang penting, pengunjung dari Republik Rakyat China kini merangkumi sejumlah besar pelancong dalam kebanyakan negara-negara ini, ketika jumlah pelancong dari China meningkat lapan kali ganda berbanding 11 juta dalam 2003 kepada 87 juta pada 2018.