COVID-19: penduduk Gaza hasilkan sut perlindungan

GAZA – Sebuah kilang di Gaza, yang terletak di tepi pantai di bandar Beit Lahia, telah berjaya menghasilkan sut perlindungan mengikut piawaian China.

Pemilik kilang, Hassan Olwan, mendapat idea menghasilkan sut perlindungan apabila kerajaan Palestin mengisytiharkan langkah berjaga-jaga untuk mencegah penyebaran wabak koronavirus.

“Saya rasa saya memegang tanggungjawab ke atas komuniti saya,” kata lelaki yang berusia 33 tahun ketika memberitahu Xinhua.

“China menunjukkan erti sebenar apa itu kesatuan sosial,” dia berkata. “Rakyatnya mengajar kami bagaimana kami boleh melindungi diri kami dari virus.”

Olwan memuji rakyat China kerana mematuhi arahan kerajaan untuk beberapa bulan, di mana ‘ia adalah langkah yang penting untuk membantu mengatasi penyakit.”

Sebuah kilang milik Hassan Olwan di Gaza, yang terletak di tepi pantai di bandar Beit Lahia, telah berjaya menghasilkan sut perlindungan mengikut piawaian China bagi melindungi diri daripada penularan wabak COVID-19. – Xinhua
Setiap hari, kilang tersebut berjaya menghasilkan kira-kira 500 pasang sut dan dijual pada harga A$30 sepasang. – Xinhua

Oleh sebab itu, pemuda Palestin tersebut mula mengambil inisiatif untuk menghasilkan sut perlindungan selepas menerima nasihat dari seorang sahabat dari China.

“Berpuluh-puluh sahabat saya dari China memberikan piawaian produksi secara percuma,” Olwan berkata. “Mereka mahu membantu orang yang berada dalam sekatan di Semenanjung Gaza.”

Setiap hari, kilang Olwan menghasilkan kira-kira 500 pasang baju seperti sut. Setiap sut dijual pada harga A$30, “harga yang berpatutan untuk kebanyakan orang,” katanya.

Sementara itu, sebuah kilang kecil telah membantu memberikan kira-kira 50 peluang pekerjaan, menurut Saed Habob, dahulu seorang pemilik kilang menjahit di bandar Beit Lahia.

Habob, yang berusia 30an, berhenti dari kilangnya yang sebelum ini mempunyai lebih dari 500 orang pekerja sejak tahun 2007, selepas Israel mengadakan sekatan ketat di Semenanjung Gaza.

Dia berkata bahawa 50 orang daripada bekas pekerjanya sekarang telah bekerja di kilang milik Olwan dan meraih wang untuk menyara keluarga masing-masing; setiap seorang menerima A$11 untuk 12 jam.

Komiti yang berpangkalan di Gaza yang menentang sekatan Israel telah memberi amaran pada bulan Januari lalu bahawa sekatan Israel telah menyebabkan kemerosotan kemanusiaan yang teruk dalam setiap aspek kehidupan di pesisiran pantai.

Bagi pihaknya, Hussein Abu Aqleen, akhirnya menghembuskan nafas lega kerana dia mendapat pekerjaan, memperoleh wang untuk kehidupannya pada tahap yang stabil.

“Saya bekerja untuk 12 jam dan mendapat wang yang cukup untuk keluarga saya,” Abu Aqleen berkata, dan menambah dia gembira untuk menghasilkan, untuk kali pertama, sut perlindungan untuk membantu orang mengelak dari virus.

Palestin setakat ini mencatatkan 59 kes jangkitan koronavirus, termasuk dua di Semenanjung Gaza.

Pada 5 Mac lalu, pihak berkuasa Palestin mengumumkan perintah darurat untuk tempoh satu bulan selepas kes pertama COVID-19 telah ditemui di daerah Bethlehem. – Xinhua