COVID-19: Penularan ke negara miskin cetus kebimbangan

ISLAMABAD, 27 FEB – Dengan sempadan yang longgar, hospital uzur dan ramai rakyat buta huruf, Afghanistan serta Pakistan berdepan kemungkinan dilanda krisis kesihatan yang buruk selepas COVID-19 menular ke negara jiran, Iran.

Islamabad sudah menutup lintasan sempadan rasmi, manakala Kabul pula menggantung semua perjalanan ke Iran yang melaporkan 19 kematian dan sejumlah 139 kes jangkitan, setakat ini, menjadikannya salah sebuah negara paling terjejas dengan wabak itu di luar China.

Bagaimanapun, pakar bimbang langkah itu tidak berkesan dengan ribuan orang – pelarian menyelamatkan diri daripada keganasan, jemaah haji Syiah, penyeludup dan migran mencari kerja – berkemungkinan melintas sempadan yang panjang serta lemah kawalan berkenaan, setiap hari. – AFP