COVID-19 perkasakan produk tempatan

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Pandemik COVID-19 telah membuka pelbagai peluang kepada pengeluar produk-produk tempatan dalam memenuhi permintaan masyarakat di negara ini disebabkan gangguan pada rantaian pembekalan dan import kerana sekatan dan penutupan kilang di rantau ini.

Perkara itu bukan sahaja memberikan cabaran kepada keupayaan tempatan untuk memenuhi permintaan yang diperlukan tetapi ia juga membuka peluang pertumbuhan yang signifikan bagi pengusaha atau pengeluar tempatan untuk tampil ke hadapan memenuhi permintaan berkenaan dalam jangka pendek serta mengukuhkan kedudukan jangka panjang khususnya untuk bersaing dengan jenama-jenama antarabangsa.

Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ghanim International Corporation, Dr Nur Rahman, dalam temu bual bersama Media Permata semasa pelancaran produk, FlavaFroot di Soon Lee Mega Mart, Muara, hari ini.

Beliau menambah bahawa keadaan itu juga membantu meningkatkan permintaan dan jualan produk-produk keluaran tempatan di mana ia merupakan satu perkembangan yang positif bagi Brunei.

Dalam hubungan itu, pihaknya ingin mengambil peluang daripada keadaan COVID-19 bagi menghasilkan atau mengeluarkan lebih banyak produk penggantian import, dengan kumpulan bruneihalal dikerahkan untuk memperkenalkan dan mengeluarkan produk-produk yang boleh menggantikan produk import.

Dr Nur Rahman semasa pelancaran produk di Soon Lee Mega Mart.

Permintaan bagi produk-produk keluaran tempatan meningkat secara positif, jelas Dr Nur Rahman di mana jualan produk tempatan bagi beberapa jenis produk keluarannya meningkat secara signifikan semasa tempoh berkenaan.

Beliau turut menyatakan bahawa Ghanim akan terus bekerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana tempatan untuk membangunkan, memasarkan dan mempromosikan produk-produk mereka bagi menyokong aspirasi negara bagi pertumbuhan, pembangunan, penggantian import dan eksport.

Usaha itu, jelas Dr Nur Rahman bukan sahaja bagi menangani keadaan penularan pandemik COVID-19 tetapi adalah amat baik bagi pertumbuhan ekonomi negara untuk menghasilkan lebih banyak produk tempatan di mana ia akan membantu perkembangan PKS tempatan.

Sementara itu, mengulas mengenai dengan inisiatif Buy Local Produce Campaign, beliau menyatakan bahawa ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan bukan sahaja daripada para pembeli tetapi juga bagi pembekal khususnya peniaga tamu dan para petani tempatan berikutan penutupan tamu disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19 bagi tempoh kira-kira tiga bulan tamu-tamu ditutup.

Beliau menambah bahawa pihaknya ingin untuk meneruskan projek berkenaan serta yakin akan dapat menyokong petani-petani tempatan dan memberikan sokongan yang diperlukan walaupun tamu sudah dibuka.

“Kami mempunyai senarai penjual dan petani tempatan mengikut jadual pengeluaran masing-masing di mana mereka akan menjual hasil mereka secara bergilir-gilir. Dahulu, kami membuat penjualan untuk dua kali seminggu, tetapi sekarang kami meneruskannya dengan penjualan sekali seminggu,” ujarnya.