Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Kes jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam menunjukkan sedikit penurunan hari ini apabila mencatatkan 936 kes baharu, membawa jumlah keseluruhan kes kepada 22,515 orang.
Daripada kes tersebut, 919 daripadanya adalah kes tempatan manakala 17 lagi adalah kes import. Jumlah tersebut adalah hasil daripada 7,212 jumlah ujian makmal yang dijalankan dalam tempoh 24 jam lalu.
Menurut kenyataan dari Kementerian Kesihatan yang dikeluarkan di sini, tiada kes dirawat dalam kategori 5 (memerlukan bantuan pernafasan dan jagaan unit rawatan rapi) manakala dua kes lagi berada di dalam kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi.
Seramai 345 orang di-sahkan sembuh, membawa jumlah keseluruhan yang sembuh kepada 17,236 orang manakala kes aktif ialah sebanyak 5,177 kes.
Kadar penggunaan katil di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate pula ialah sebanyak 22.7 peratus.
Sehingga kelmarin (12 Februari), kadar keseluruhan penduduk menerima dos ketiga vaksin ialah 46 peratus.