COVID-19: Pesanan arwah ibu jadi bekalan buat lima beradik

KLANG, 9 OGOS – Pandemik COVID-19 yang melanda negara bukan sahaja menyebabkan ramai anak-anak kehilangan ibu atau bapa, malah tidak kurang yang menjadi yatim piatu dalam sekelip mata apabila kedua ibu bapa meninggal dunia dalam jarak waktu yang dekat.

Ramai yang tidak bersedia dan terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga menjaga adik-adik yang masih kecil dan bersekolah, sedangkan diri sendiri juga masih menuntut.

Situasi itu dialami lima beradik di Pelabuhan Klang di sini apabila kedua ibu bapa mereka ‘tewas’ kepada COVID-19.

Ibu mereka, Ramlah Muktar, 43, meninggal dunia pada 31 Julai dan disusuli enam hari selepas itu ayah mereka Mohd Suhaimi Zakaria, 55, pula menghembuskan nafas terakhir kelmarin.

Ekoran itu, kakak sulung Intan Iewanina Mohd Suhaimi, 21, yang masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak terpaksa menggalas tugas sebagai ketua keluarga menjaga empat adik yang masih bersekolah.

“Pemergian mereka secara mengejut menyebabkan saya buntu dan belum merancang hala tuju keluarga,” katanya kepada media selepas dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari.  

Intan Iewanina dan empat adiknya iaitu Batrisyia Izzah, 19,  Uzair Wazini, 16, Ahmadinejad, 12 dan Nisa Ailani yang berusia lima tahun kini menetap di rumah peninggalan ibu bapa mereka di Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang, Selangor.

Beliau berkata sebelum ibu bapa meninggalkan mereka buat selama-lamanya, mereka sempat berpesan agar dia dan adik-adiknya menghabiskan pelajaran masing-masing dan ia menjadi pendorong kepadanya untuk menamatkan pengajian di UIAM. – Bernama

Intan Iewanina Mohd Suhaimi (tiga, kanan) bersama adik-adiknya menunjukkan gambar kenangan yang dirakam pada Aidilfitri tahun ini bersama arwah ibu dan bapanya yang meninggal dunia disebabkan COVID-19 ketika menyantuni keluarga berkenaan di Pangsapuri Sri Perantau Pelabuhan Klang, semalam. – Bernama