COVID-19: PPDB pantau pematuhan orang ramai

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Dalam usaha menyahut seruan kerajaan yang ditekankan oleh Kementerian Kesihatan, kerjasama orang ramai adalah amat diperlukan untuk membendung dan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 dalam komuniti di negara ini.

Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui peruntukan di bawah Seksyen 63 Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 telah dikerahkan untuk memberikan bantuan sepenuhnya bagi menguatkuasakan undang-undang dan akta tersebut melalui pemeriksaan berskala penuh di seluruh negara.

PPDB melalui pemeriksaan itu menjalankan sekatan-sekatan jalan raya dan rondaan pemantauan di kawasan premis-premis perniagaan dan menumpukan individu-individu yang melanggar kesalahan berkaitan akta tersebut.

Tumpuan pemeriksaan juga adalah bagi memastikan pemakaian pelitup muka sentiasa dipatuhi, memastikan aplikasi BruHealth ada di telefon bimbit orang ramai dan sentiasa mengemas kini dan mempamerkan kod kesihatan mereka kepada petugas-petugas di lapangan bagi mengetahui kondisi mereka.

Kesalahan atau mengingkari mana-mana arahan yang dikeluarkan di bawah akta tersebut boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $100 bagi kesalahan tanpa memakai pelitup muka, $5,000 bagi kod merah pada kod kesihatan aplikasi BruHealth bagi mereka yang mempunyai simptom COVID-19 dan mempunyai kontak dengan orang yang positif virus tersebut. Jika sabit kesalahan-kesalahan ini boleh membawa denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, pihak PPDB menyarankan orang ramai mematuhi dan melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai penduduk negara ini untuk mematuhi semua arahan dan larangan ditetapkan sepanjang tempoh ia berkuat kuasa bagi mengelak penularan lebih teruk wabak COVID-19.

Orang ramai yang mengetahui maklumat perlanggaran arahan adalah disarankan segera menghubungi talian kecemasan pihak penguat kuasa undang-undang bagi tindakan sewajarnya.

Seorang anggota PPDB melihat telefon bimbit seorang pemandu bagi memastikan beliau memiliki aplikasi BruHealth dan dalam kondisi sihat.