COVID-19: Puluhan ribu penduduk Afrika berdepan risiko kematian

ABUJA, 8 MEI – Puluhan ribu penduduk di Afrika mungkin berdepan risiko kematian andai langkah-langkah pencegahan berkesan untuk membendung wabak COVID-19 tidak dilaksanakan pihak berkuasa, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Afrika.

Menurut agensi berita Anadolu, memetik kenyataan WHO pada Khamis antara 83,000 hingga 190,000 orang di benua itu dijangka maut akibat virus COVID-19.

Kira-kira 29 hingga 44 juta orang lagi akan dijangkiti pada tahun pertama pandemik.

Menurut pertubuhan itu, ramalan berdasarkan model penyelidikan yang me ninjau 47 negara di wilayah Afrika dengan jumlah penduduk satu bilion.

Penyelidikan itu mendapati negara-negara Afrika yang lebih kecil di samping Algeria, Afrika Selatan dan Cameroon dikategorikan berisiko tinggi.

Peningkatan jumlah kes bakal mencetuskan kemasukan pesakit ke hospital yang ramai, mengatasi kemampuan kemudahan perubatan yang ada di kebanyakan negara Afrika.

“Kira-kira 3.6 hingga 5.5 juta pesakit COVID-19 akan dimasukkan ke hospital termasuk 52,000–107,000 kes kritikal yang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Jumlah kes COVID-19 di Afrika mencecah 51,698, menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika kelmarin. – Bernama