COVID-19 punca utama kematian suku ketiga 2021

PUTRAJAYA, 8 NOV – Bilangan kematian mencatatkan peningkatan sebanyak 60.5 peratus atau 65,584 kematian pada suku ketiga tahun ini berbanding 40,858 kematian pada suku ketiga 2020, menurut laporan berkaitan Perangkaan Demografik bagi suku tahun ketiga 2021.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata menurut laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan hari ini, Selangor merekodkan kadar kematian tertinggi iaitu 13,926 kematian manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan kadar terendah dengan 90 kematian.

“Kematian disebabkan oleh COVID-19 menjadi penyumbang utama kepada peningkatan ketara bilangan kematian pada suku ketiga 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Daripada jumlah keseluruhan kematian pada suku ketiga 2021, sebanyak 21,165 kematian adalah akibat COVID-19 iaitu peningkatan sebanyak 15 kematian bagi tempoh sama 2020, katanya. Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat COVID-19 dengan 7,788 kematian manakala Putrajaya mencatatkan kematian terendah dengan hanya sembilan kematian, katanya.

Menurut Mohd Uzir, kematian disebabkan oleh COVID-19 turut menunjukkan peningkatan pada suku ketiga 2021 di negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura serta Vietnam dan trend sama dicatatkan di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan United Kingdom. – Bernama