COVID-19 Relief Fund mungkin diaktifkan semula

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – COVID-19 Relief Fund mungkin akan diaktifkan semula berikutan terdapatnya sambutan dan sokongan daripada pihak swasta dan orang ramai mengenainya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah berkongsi perkara itu semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menambah, “Memang ada juga pihak swasta menelefon bertanya-tanya bagaimana mereka boleh sama-sama mendukung usaha kerajaan untuk mengatasi isu COVID-19 ini.

“Dari segi kewangan, terdapat kalangan mereka yang secara sukarela ingin memberikan sokongan. Jadi perkara ini memang kita akan lihat dahulu apa yang kekurangan pada masa ini ataupun jika ada keperluan untuk membangun lagi seperti tahun lepas di mana kita membangun hospital di Tutong,” jelas beliau lagi.

Jadi jika ada keperluan begitu, tambah beliau, mereka akan menyampaikan hajat orang untuk menolong pihak kerajaan, oleh yang demikian, kerajaan atau swasta boleh bekerjasama.

“Ini satu petanda yang positif yang menampakkan orang ramai kita dengan semangat keBruneian yang sama-sama mahu bekerjasama dan menyokong sesama kita. Tetapi buat pada masa ini, perkara ini belum lagi ada.

“Kami juga perlu mengenal pasti apa kegunaan dana-dana yang akan disumbangkan oleh mereka. Insya-Allah, apabila tiba masanya ia boleh dilancarkan. Memang (ianya) satu cadangan yang bagus dan positif,” tambah beliau.