COVID-19 rumitkan pilihan persekolahan di AS

Joshua Claybourn lebih memilih untuk menghantar anak perempuannya yang bersekolah tadika menghadiri kelas-kelas di sekolah awam bulan Ogos ini. Anak perempuan Holly Davis yang berada di Gred 6 akan belajar secara dalam talian, manakala keluarga itu masih belum dapat menentukan nasib persekolahan anak perempuan remaja mereka yang memerlukan penjagaan khas kerana masalah pendengaran dan disleksia dan seorang anak mereka lagi yang baharu sahaja memasuki kolej.

Sementara mereka membuat keputusan bagaimana anak-anak mereka akan meneruskan pembelajaran pada musim luruh ini di tengah pandemik koronavirus, para ibu bapa berhati-hati mempertimbangkan kelebihan pembelajaran secara bersemuka dengan risiko sekolah-sekolah mungkin akan kembali ditutup atau anak mereka mungkin akan dijangkiti virus dan menjangkiti yang lain.

“Untuk mengatakan yang kami sedang tertekan mungkin tidak mencukupi,” ujar Davis, yang menetap di Noblesville, Indiana, yang menjalani pengasingan diri sekeluarga setelah salah seorang daripada anak perempuannya terdedah kepada COVID-19 semasa satu perjumpaan rentas desa. “Kami dipaksa untuk membuat keputusan-keputusan yang mustahil.”

Di seluruh negara, huru-hara telah menandakan permulaan tahun persekolahan dengan keluarga-keluarga menanti arahan daripada pegawai-pegawai daerah, di mana mereka mempunyai pilihan, membuat pilihan yang susah mengenai adakah anak-anak mereka akan belajar secara dalam talian atau hadir ke sekolah, dengan panduan yang tidak mencukupi.

Jika anak-anak mereka tidak hadir ke kelas, para ibu bapa harus berbelanja lebih untuk penjagaan anak-anak mereka atau mencari waktu untuk membantu mereka belajar secara dalam talian. Mereka tidak pasti adakah ia langkah yang selamat untuk menghantar anak mereka ke sekolah, atau adakah sekolah akan dibuka atau terus dibuka sekiranya seseorang didapati dijangkiti virus.

Penjaga Garland Independent School District Camelia Tobon mengelap meja di perpustakaan Stephens Elementary School di Rowlett, Texas. – AP
Michael Curtis mendapat bantuan daripada ayahnya untuk memasang penutup mulut dan hidung. – AP
Gambar bertarikh 23 Julai 2020, menunjukkan seorang guru lukisan Cara Bailey menghadiri tunjuk perasaan untuk mendesak kepimpinan gabenor mengenai pembukaan semula sekolah di Salt Lake City. – AP

Lebih merumitkan lagi, di sesetengah sekolah awam, kanak-kanak yang memilih untuk belajar secara dalam talian tidak akan dapat menghadiri aktiviti-aktiviti luar kurikulum (ECA).

Keputusan mengenai bagaimana kanak-kanak akan bersekolah lebih rumit untuk dibuat di kawasan-kawasan yang berpendapatan rendah dan komuniti bukan kulit putih yang memikul beban berganda kerana kawasan tersebut lebih dipengaruhi oleh pandemik dan kawasan di mana para pelajar lebih mendapat faedah dengan berada di sekolah, kata Dr. Jiran Hoshi, pegawai perubatan kanan dan ketua bersama Cook County Health Department, yang berurusan dengan lebih 2.4 juta penduduk di Chicago.

“Saya rasa terdapat banyak kelebihan dalam pembelajaran secara bersemuka,” ujar Joshi.

“Namun saya rasa perlunya keseimbangan dengan keperluan untuk mengawal pandemik ini.”

Ramai ibu bapa merasa khuatir dengan masalah yang dihadapi oleh jutaan orang pada musim bunga lalu, apabila mereka cuba untuk bekerja sementara anak-anak mereka melakukan pembelajaran secara dalam talian.

Kira-kira 70 peratus daripada warga Amerika berpendapat sekolah-sekolah harus dibuka pada musim luruh ini, meskipun kebanyakan mereka juga berpendapat ia perlu dijalankan dengan beberapa kekangan, menurut kaji selidik terbaharu daripada The Associated Press-NORC Center for Public Affairs. Hanya 8 peratus berpendapat bahawa sekolah-sekolah harus beroperasi seperti biasa.

Penggunaan penutup mulut dan hidung sudah banyak dipersoalkan di banyak kawasan. Di Springfield, Illinois, ramai yang menentang keperluan bagi kanak-kanak bersekolah untuk menggunakan penutup mulut dan hidung semasa menghadiri kelas.

Claybourn, seorang bapa yang anaknya masih di bangku tadika, mempertimbangkan pilihan yang ada. Beliau berkata masih belum jelas apakah langkah yang akan diambil oleh sekolah-sekolah di Newburgh, Indiana, sekiranya seseorang didapati dijangkiti COVID-19. Sekolah swasta yang menjadi salah satu pilihannya memberitahu hanya bilik darjah kanak-kanak yang dijangkiti akan ditutup hanya untuk selama dua ke tiga minggu sahaja.

Sekolah-sekolah awam juga merancang untuk menawarkan pilihan pembelajaran secara dalam talian, namun bagi Claybourn, seorang pendakwa yang bekerja di luar rumah, “itu bukannya satu penyelesaian kerana ia memerlukan seseorang itu untuk sentiasa bersama anak-anak sepanjang hari.”

Beliau juga mahu anak perempuannya mempunyai rutin harian, interaksi bersama rakan-rakan dan guru-guru dengan menghadirkan diri ke sekolah.

“Saya tidak akan menjadi sebagus seperti guru-guru yang dilatih secara profesional,” ujarnya.

“Saya faham akan kekhuatiran kanak-kanak mungkin akan dijangkiti virus dan menyebarkannya, namun bagi saya kebimbangan terbesar saya ialah prospek yang kanak-kanak tidak akan pergi ke sekolah untuk jangka waktu yang lama.”

Bagi Davis dan suaminya, kebimba-ngan mengenai kesihatan dan kemungkinan sekolah akan ditutup bila-bila masa sahaja memaksa mereka untuk memilih pembelajaran secara dalam talian untuk anak perempuan bongsu mereka, daripada memilih program hibrid yang memerlukan kanak-kanak untuk hadir ke kelas.

Davis menjelaskan bahawa beliau berdepan dengan risiko sakit teruk sekiranya dijangkiti. “Sehingga mereka mengetahui lebih lanjut mengenainya (virus), pastikan kanak-kanak bebas daripadanya,” katanya.

Peningkatan jangkitan koronavirus di seluruh Amerika Syarikat (AS) menambahkan lagi ketidakpastian. AS menerajui senarai dunia dengan lebih 4.1 juta jangkitan yang disahkan dan lebih 146,000 kematian, mengikut data yang dikumpulkan oleh Johns Hopkins University. Di serata dunia, lebih 15.7 juta jangkitan dan lebih 640,000 kematian telah dicatatkan.

Pakar-pakar memberitahu angka tersebut tidak mencerminkan jumlah sebenar kes pandemik itu, antaranya disebabkan jumlah terhad ujian yang dijalankan. Banyak negara yang melihat peningkatan jumlah kes, kadar jangkitan koronavirus di Perancis telah meningkat pada Sabtu seminggu yang lalu, dan Sepanyol telah mengehadkan aktiviti malam, dalam usaha mengawal kluster baharu jangkitan. India, yang mempunyai jangkitan ketiga tertinggi dunia di belakang AS dan Brazil, melihat peningkatan dengan lebih 49,000 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1.3 juta kes.

Di New York, Macho Lara, seorang pengurus IT di sekolah Brooklyn, berkata dia dan isterinya tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk anak-anak mereka, yang memasuki Gred 3 dan 5.

Pihak berkuasa buat sementara waktu menawarkan sistem persekolahan awam kepada 1.1 juta pelajar dengan pilihan untuk meneruskan pembelajaran secara dalam talian atau dengan model hibrid.

“Kami masih tidak tahu apa yang akan berlaku pada musim luruh ini,” kata Lara, yang menambah mereka masih mempertimbangkan risiko kesihatan, ketidaktetapan jadual pekerjaan mereka, kadar bayaran transmisi tempatan, keperluan bersosial anak-anak mereka dan kesan kepada pembangunan sosial anak mereka yang berusia 8 tahun itu.

Lebih merumitkan lagi bagi keluarga itu untuk membuat keputusan, mereka hanya mendapat sedikit pencerahan daripada ketua-ketua yang dilantik. Datuk Bandar Bill de Blasio berkata beliau tidak akan membuat keputusan akhir mengenai pembukaan sekolah-sekolah sehingga beberapa hari saja lagi sekolah akan dibuka semula pada bulan September. Gabenor New York Andrew Cuomo telah memberinya kuasa untuk membuat kata putus.

Presiden Donald Trump pada awalnya telah meminta sekolah-sekolah di seluruh negara dibuka semula, namun baru-baru ini mengakui masih terdapat kawasan-kawasan yang harus ditangguhkan pembukaannya pada musim luruh ini.

Bagi Lara, tiada pilihan yang baik baginya. “Kedua-duanya akan menyakitkan. Tinggal hanya lagi pilihan mana yang akan lebih baik daripada yang satu lagi,” ujarnya. – AP