COVID-19: Rusia catat rekod baharu jangkitan, kematian

MOSCOW, 24 DIS – Rusia hari ini mendaftarkan jumlah rekod baharu jangkitan dan kematian harian koronavirus, ketika negara itu mengelak mengenakan semula sekatan pergerakan seluruh negara.

Para pegawai kesihatan melaporkan 29,935 jangkitan baharu, membawa jumlah keseluruhan kes di negara itu kepada 2,963,688 – keempat tertinggi di dunia.

Mereka juga mencatatkan 635 kematian, membawa jumlah korban jiwa keseluruhan kepada 53,096 sejak permulaan pandemik.

Kadar kematian Rusia lebih rendah daripada negara lain yang dilanda teruk, menimbulkan kebimbangan yang pihak berkuasa mungkin mengurangkan skala penularan.

Data yang disiarkan oleh perkhidmatan statistik negara awal bulan ini menunjukkan kematian berlebihan hampir 165,000 setahun ke setahun antara Mac dan Oktober, menunjukkan kematian virus mungkin lebih tinggi.

Para pegawai kelmarin juga mendaftarkan rekod baharu jumlah jangkitan baharu di bandar Moscow, pusat permulaan penularan wabak Rusia.

Rekod-rekod itu muncul selepas para pegawai berkata Rusia tidak akan memperkenalkan semula sekatan pergerakan seluruh negara seperti yang dilaksanakan pada permulaan pandemik semasa musim bunga.

Semasa sidang media hujung tahun minggu lalu, Presiden Vladimir Putin menolak idea untuk mengenakan semula sekatan pergerakan seperti mana kebanyakan negara Eropah laksanakan sehingga cuti Krismas.

“Jika kita mengikuti peraturan dan permintaan daripada para pengawal selia kesihatan, jadi kita tidak memerlukan sebarang sekatan pergerakan,” kata Putin.

Walaupun sekatan ketat telah dikenakan di beberapa bandar besar, pihak berkuasa di kebanyakan rantau telah mengehadkan langkah dengan mengehendaki memakai penutup mulut dan hidung di tempat awam dan mengurangkan perhimpunan ramai. – AFP