MOSCOW, 21 DIS – Rusia hari ini melaporkan peningkatan baharu dalam jangkitan koronavirus, tatkala beberapa pakar berkata pandemik telah menjejas negara lebih teruk daripada yang dicadangkan oleh statistik kerajaan.
Pegawai kesihatan melaporkan 493 kematian virus baharu dan 29,350 kes, membawa jumlah jangkitan kepada 2,877,727 – keempat tertinggi di dunia.
Jumlah kematian mencecah 51,351. Moscow dan bandar kedua Saint Petersburg paling teruk terkesan, mencatat 7,797 dan 3,752 kes baharu.
Rusia telah melapor kadar kematian lebih rendah berbanding negara lain yang terjejas teruk, justeru menimbulkan kebimbangan bahawa pihak berkuasa memalsukan angka sebenar.
Alexei Reksha, bekas pakar demografi di agensi statistik Rusia, berkata beliau percaya kira-kira 250,000 orang telah meninggal dunia akibat koronavirus.
Gelombang kedua Rusia telah meningkat dalam beberapa minggu ini, namun pegawai belum mengenakan semula sekatan ketat di seluruh negara yang dilancarkan pada awal pandemik dan ramai penduduk Rusia melanggar peraturan penjarakan sosial dan pemakaian penutup mulut dan hidung.
Rusia kini menaruh harapan pada vaksin buatan sendiri, termasuk Sputnik V yang dinamakan sempena satelit angkasa lepas pertama. – AFP






























