COVID-19: Satu lagi kes import baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Satu lagi kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di negara ini yang membawa jumlah keseluruhan kes COVID-19 seramai 150 orang.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menjelaskan kes ke-150 merupakan seorang lelaki berumur 37 tahun yang tiba di Negara Brunei Darussalam dari Mesir melalui Kuala Lumpur pada 13 November 2020 dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI874.

Yang Berhormat Dato berkata beliau tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan dan pada masa ini ditempatkan di Pusat Pengasingan Kebangsaan bagi pemantauan dan rawatan, manakala ujian awal ke atas lima kontak rapat kes berkenaan didapati negatif.

“Dengan pengesanan kes ini, terdapat dua kes aktif sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan. Manakala jumlah kes yang telah disahkan sembuh ialah seramai 145 orang,” jelas Yang Berhormat Dato semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurutnya lagi, setakat ini, sembilan kes import telah disahkan sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan pada 6 Mei 2020 yang mana dengan ini, negara telah mencatatkan 202 hari tanpa kes jangkitan tempatan COVID-19.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa sidang media di Kementerian Kesihatan. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manaf bin Othman.

“Pada hari ini, seramai 558 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang telah ditetapkan oleh kerajaan iaitu mereka yang baru tiba di negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara. Setakat ini, seramai 8,287 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan,” kongsinya lagi.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 284 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 75,916 ujian.

Dalam sidang media tersebut juga, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengingatkan orang ramai untuk mengamalkan tanggungjawab sosial masing-masing dengan mengamalkan kebersihan diri, etika bersin yang betul, digalakkan memakai penutup mulut
dan hidung apabila berada di tempat-tempat awam yang penuh sesak dan jika merasa kurang sihat, tidak menghadirkan diri ke tempat-tempat awam dan majlis-majlis keramaian.

“Orang ramai adalah masih dikehendaki untuk mematuhi segala peraturan dan arahan yang berkaitan dengan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial yang telah dikeluarkan dan masih berkuat kuasa pada masa ini seperti menggunakan aplikasi BruHealth dan mengimbas kod QR setiap kali apabila masuk dan keluar dari premis-premis terutama sekali di tempat-tempat awam seperti gedung-gedung perniagaan, kedai-kedai runcit, restoran-restoran, salon kecantikan, kedai gunting dan lain-lain.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.