COVID-19 sebagai Qada’ dan Qadar Ketentuan Allah

Oleh Yusrin Junaidi 

Segala sesuatu yang terjadi di muka bumi ini adalah ketetapan Allah SWT termasuklah segala perkara baik atau buruk, sebagaimana penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia yang berlaku ketika ini merupakan bukti kebesaranNya.

Sebagai seorang Mukmin, walau apa juga ujian yang melanda haruslah sentiasa bersangka baik dengan Allah, memperbanyakkan doa, berikhtiar, bertawakal dan bersabar. Dalam masa yang sama percaya dan yakin sepenuh hati bahawa Allah memiliki kehendak, ketetapan, keputusan ke atas semua makhlukNya merupakan wujud daripada beriman kepada Qada’ dan Qadar.

“Namun dalam keadaan apa pun yang Allah Ta’ala takdirkan seterusnya kita akan tetap teguh beriman dan kukuh bertakwa. Sebab kita yakin sesungguhnya Allah Ta’ala telah mensyaratkan kepada penduduk sesebuah negeri bahawa mereka hendaklah teguh beriman dan kukuh bertakwa supaya mereka dan negeri mereka mendapat limpah rahmat Allah berupa al-barakaat daripada berbagai sumber.

“Rahmat yang dijanjikan Allah itu termasuklah khasnya dalam bentuk kemakmuran serta keamanan, kebahagiaan serta kesejahteraan sebagaimana mafhum firmanNya ayat 96 Surah Al-A’raaf:

“Dan kalaulah penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa tentulah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi.”

Perkara itu pernah diketengahkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, pada 10 September 2018 sempena Majlis Sambutan Awal Tahun 1440 Hijrah Peringkat Negara.

Ia juga merupakan antara inti pati Terapi Kejiwaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama yang bertajuk Qada’ dan Qadar Ketentuan Allah.

Gambar fail Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin pada 10 September 2018 sempena Majlis Sambutan Awal Tahun 1440 Hijrah Peringkat Negara.
Percaya dan yakin sepenuh hati bahawa Allah memiliki kehendak, ketetapan, keputusan ke atas semua makhlukNya merupakan wujud daripada beriman kepada Qada’ dan Qadar.

Beriman dengan Qada’ dan Qadar

Menurut Ahli Sunnah Wal Jama’ah setiap orang Islam adalah dituntut untuk beriman dengan Qada dan Qadar yang merupakan salah satu daripada Rukun Iman.

Ini antaranya merangkumi perkara-perkara seperti mempercayai dan meyakini apa yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala kepada makhluk ciptaanNya, sejak azali lagi pasti akan berlaku dan tiada sesiapa yang mampu menolaknya.

Berlaku sesuatu itu adalah bertepatan dengan ilmu Allah dan kehendakNya. Selaku hamba, kita menyerah diri pada kekuasaanNya atas apa saja yang berlaku dan beriman sepenuhnya serta meyakininya dengan sebenar-benarnya.

Dalam Al-Quran Allah SWT berfirman di dalam Surah At-taubah ayat 51, tafsirnya,

“Katakanlah (wahai Nabi Muhammad kepada orang-orang munafiq itu): “Sesungguhnya pun sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang Allah telah tetapkan bagi kami. Dialah pelindung kami. Dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang beriman bertawakal.”

Di dalam hadis Rasulullah SAW turut dijelaskan, daripada Umar ibn Al-Khattab, pada suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh Malaikat Jibril. Malaikat Jibril bertanya “Beritahukanlah kepadaku apa itu iman”

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Iman itu ertinya engkau beriman kepada Allah, para malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari akhir dan kami beriman kepada takdir yang baik maupun yang buruk” (Hadis Riwayat Muslim).

Hukum beriman dengan Qada’ dan Qadar

Hukum beriman dengan Qada’ dan Qadar adalah wajib ke atas setiap orang Islam. Malah tidak akan sempurna iman seseorang tanpa mengimaninya.

Menurut ulama, beriman dengan Qada’ dan Qadar mencakupi empat tahap seperti meyakini bahawa Allah SWT maha mengetahui setiap sesuatu sebelum ianya terjadi, meyakini bahawa semuanya yang berlaku telah tertulis di lauh mahfuz, meyakini bahawa terjadinya sesuatu merupakan atas kehendak Allah SWT jua, dan meyakini bahawa semuanya adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang tiada maha pencipta selainNya.

Perspektif beriman kepada Qada’ dan Qadar

Dalam kehidupan seharian pula, adalah perlu untuk mengambil berat untuk meneguhkan keimanan kepada Allah, redha atas Qada’ dan Qadar yang ditentukan, bersyukur atas segala nikmatNya dan bersabar atas ujianNya, seiring dengan firman Allah, maksudnya:

“Dan kalau mereka benar-benar redha dengan apa dikurniakan oleh Allah dan rasulNya kepada mereka dan berkata “Cukuplah Allah bagi kami, Allah akan mengurniakan kepada kami daripada limpah kurniaNya dan (demikian juga) rasulNya. Sesungguhnya kami ialah orang-orang yang berharap kepada Allah (tentulah yang demikian itu lebih baik mereka)”. (At-Taubah 59)

Menyentuh mengenai dengan hikmah beriman kepada Qada’ dan Qadar, terdapat banyak hikmah yang tersembunyi yang boleh kita renungkan iaitu jiwa kita menjadi lebih tenang, istiqamah dalam landasan yang betul sama ada di kala senang mahupun susah. Di samping itu juga, kita dapat memupuk akhlak terpuji dan sifat-sifat positif di sanubari orang beriman, memahami syariat islam dengan kefahaman yang betul, memenuhkan hati orang beriman dengan jiwa yang suci, yang meyakini keagungan Allah. Dengan beriman kepada Qada’ dan Qadar ini juga diri kita akan merasa cukup, tenang dan hanya berharap kepada rahmat Allah, redha dengan ketentuan Allah dan membuatkan kehidupan harian individu mukmin sentiasa ingat akan kebesaran Allah.

Allah mentakdirkan setiap penyakit ada ubatnya

Setiap penyakit secara umumnya telah ditakdirkan pasti ada ubatnya, dalam apa jua bentuknya, sama ada ia bersifat mencegah atau mengubati. Ini termasuklah wabak COVID-19 dengan kepelbagaian variannya itu pasti ada ubatnya sama ada yang sudah ditemukan ataupun belum.

Ini dapat direnungi melalui hadis daripada Usamah bin Suraik, bahawasanya Nabi SAW bersabda (Hadis Riwayat Ahmad):

“Aku pernah berada di samping Rasulullah SAW, lalu datanglah serombongan Arab Badawi. Mereka bertanya “Wahai Rasulullah bolehkah kami berubat?. Jawab Rasulullah “Ya, wahai para hamba Allah, berubatlah, sebab Allah tidaklah meletakkan sesuatu penyakit melainkan meletakkan pula ubatnya kecuali satu penyakit iaitu penyakit tua.”

Sebab tidak menafikan Qada’ dan Qadar

Daripada Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud (hadis riwayat Bukhari dan Muslim):

“Yang sakit itu janganlah mendatangi yang sihat”.

Di antara ajaran Rasulullah SAW apabila berhadapan dengan masalah penyakit berjangkit adalah melakukan pencegahan. Maka oleh itu, tanpa menafikan Qada’ dan Qadarnya Allah, adalah menjadi tanggungjawab agama bagi setiap individu dan masyarakat untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan mengelakkan diri dari pada kemudaratan dan penyakit.

Ini termasuklah mematuhi saranan semasa antaranya mengelakkan tempat-tempat himpunan awam termasuk masjid dan pasar-pasar, agar kita dan orang-orang lain dapat mengelakkan daripada dijangkiti ataupun menjangkiti.

Akhirnya, sebagai hamba Allah, kita tidak dapat lari daripada apa jua ketentuan Allah SWT sama ada berupa kebaikan, kesenangan, keburukan ataupun kesusahan. Semua ini harus kita imani dengan teguh dan sabar serta dengannya kita mengharapkan hikmah, kebaikan dan ganjaran daripada Allah SWT jua. Dalam masa yang sama, kita juga tidak menafikan usaha yang diiringi tawakal dan dilaksanakan mengikut kemampuan dan pengetahuan kita yang ada, selagi mana ia dibenarkan di dalam syariat Islam.

Tidak dapat dinafikan ujian pandemik COVID-19 ini adalah amat berat dan ianya dirasakan oleh segenap lapisan masyarakat sama ada kaya, miskin, muda atau tua. Maka di dalam ujian ini, siapa yang kembali kepada Allah jua maka merekalah sebaik-baik hamba yang beriman.