COVID-19: Seorang lagi meninggal dunia

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Satu lagi kes yang disahkan positif COVID-19 iaitu seorang wanita warga emas berumur 73 tahun yang merupakan Kes 867 telah kembali ke rahmatullah, hari ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan yang pesakit berkenaan mengalami masalah paru-paru setelah dijangkiti COVID-19 dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Intensif, Pusat Pengasingan Kebangsaan kerana memerlukan bantuan mesin pernafasan.

Yang Berhormat Dato semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan berkata pihaknya tidak akan mengongsikan butiran peri-badi kes berkenaan demi menjaga kerahsiaan dan menghormati privasi keluarga pesakit.

Beliau juga memohon kepada orang ramai untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan kes tersebut.

“Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes berkenaan. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para solihin. Al-Fatihah.”

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah. – Gambar oleh Muiz Matdani