COVID-19: Singapura catat 262 kes baharu

SINGAPURA, 21 JUN – Singapura mengesahkan sejumlah 262 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan sembilan kes dalam komuniti yang membabitkan tiga rakyat atau penduduk tetap republik itu dan enam pemegang pas.

Dengan pertambahan angka terkini itu, jumlah keseluruhan jangkitan setakat ini ialah 42,095 kes.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan di sini pada tengah hari, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata majoriti kes membabitkan pemegang permit kerja yang menghuni asrama pekerja asing.

Sehingga kini, 26 orang meninggal dunia susulan komplikasi akibat COVID-19 dengan dua kes pertama dilaporkan pada 21 Mac. – Bernama