COVID-19 tak halang Turki sambut ulang tahun 100 tahun parlimen

ISTANBUL, 24 APRIL – Sebuah pesawat Turkish Airlines terbang di udara negara itu kelmarin dengan membuat bentuk bendera negara itu melalui jejak penerbangan bagi menyambut ulang tahun ke-100 penubuhan parlimen Turki.

Perayaan untuk Hari Kedaulatan Nasional dan Kanak-kanak Turki berbeza kerana wabak COVID-19, dengan pihak berkuasa menggantikan upacara perbarisan dan upacara sekolah dengan berbaris sambil mematuhi langkah-langkahpencegahan seperti penjarakan sosial. Laman web penjejakan penerbangan Flightradar24 menunjukkan bentuk bulan sabit dan bintang di ruang udara Turki dibuat oleh Boeing 777.

Stesen televisyen Turki menunjukkan kanak-kanak dengan bendera berada di jalan-jalan kejiranan mereka. Kerajaan juga meminta warga Turki menyanyikan lagu kebangsaan pada waktu petang.

Pegawai yang memakai penutup hidung dan mulut mengunjungi makam pengasas Turki dan mengadakan sesi khas di parlimen. Angka terbaharu kes kematian menurut Kementerian Kesihatannya, merekodkan 2,491 kematian dan sebanyak 101,790 kes positif COVID-19.

Negara itu menduduki tempat ketujuh di dunia dalam jumlah jangkitan yang disahkan positif, menurut Universiti Johns Hopkins.

Para pakar mengatakan jumlah sebenar wabak di seluruh dunia jauh lebih tinggi daripada penghitungan Johns Hopkins, yang disebabkan oleh pengujian yang terbatas dan kesukaran untuk menghitung orang yang meninggal dunia di tengah-tengah krisis.

Untuk membendung COVID-19, Turki menutup sekolah, restoran dan tempat awam lain, melarang orang yang berusia di bawah 20 atau lebih dari 65 tahun meninggalkan kediaman mereka dan perintah berkurung pada hujung minggu untuk semua, dilanjutkan menjadi empat hari minggu ini. – AP

Ahli parlimen Turki memakai penutup mulut dan hidung mengunjungi makam pengasas Turki,Mustafa Kemal Ataturk semasa upacara Hari Kedaulatan Nasional dan Hari Kanak-kanak, di Ankara, Turki, pada 23 April. – AP