COVID-19: Tekanan terhadap syarikat APAC meningkat

KUALA LUMPUR, 25 MEI – Moody’s Investors Service berkata sebanyak 22 peratus daripada 476 syarikat bukan kewangan yang diberi penarafan di Asia Pasifik (APAC) mempunyai pendedahan yang tinggi terhadap gangguan koronavirus, meningkat daripada 20 peratus pada Mac, berikutan impak daripada pandemik tersebut ke atas kualiti kredit syarikat menjadi lebih jelas.

“Syarikat penerbangan, pengeluar kereta dan pembekal komponen kereta, kasino, peruncitan dan syarikat hospitaliti terus menanggung impak ekonomi daripada penularan tersebut, berdasarkan sensitiviti mereka kepada permintaan pengguna dan sekatan perjalanan,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Serantau Kumpulan Kewangan Korporat Asia Pasifik Moody’s, Laura Acres, dalam kemas kini laporan yang diterbitkan pada April mengenai pendedahan syarikat APAC terhadap koronavirus.

“Selain itu, kemerosotan harga minyak dan permintaan industri yang lemah akan terus menjejaskan sektor minyak dan gas serta perkapalan.”

Daripada 105 syarikat dengan pendedahan tinggi, hampir 90 peratus menghadapi situasi operasi negatif dan telah mempunyai prospek negatif atau dinilai untuk penurunan penarafan, dengan hampir 30 peratus mempunyai mudah tunai yang rendah.

“Perkhidmatan keluli dan lapangan minyak telah menyertai senarai sektor dengan pendedahan tinggi, sebahagian besarnya berikutan pengeluaran dihentikan dan permintaan yang rendah daripada pengguna telah mengekang operasi pengeluar keluli, manakala permintaan lembap dan harga minyak yang rendah memberi kesan kepada syarikat dalam perkhidmatan lapangan minyak,” kata Naib Presiden dan Pegawai Kredit Kanan Moody’s, Kaustubh Chaubal.

Pendedahan adalah sederhana bagi 39 peratus daripada syarikat (183), naik daripada 36 peratus pada Mac. Kebanyakan daripada syarikat ini beroperasi dalam sektor perlombongan, hartanah, penapisan dan pemasaran, kimia, protein dan pertanian dengan hanya 4.0 peratus mempunyai mudah tunai yang rendah.

Di samping itu, pendedahan adalah rendah bagi 39 peratus daripada syarikat (188), yang termasuk syarikat menyediakan perkhidmatan penting atau yang mempunyai model perniagaan yang pelbagai, seperti syarikat teknologi maklumat, telekomunikasi dan media, kejuruteraan dan pembinaan.

Moody’s melihat kepada beberapa faktor untuk menilai setiap pendedahan syarikat, termasuk hubungan dengan kawasan yang terjejas dan pendedahan kepada gangguan rantaian bekalan. Tahap pendedahan menunjukkan potensi kualiti kredit setiap syarikat atau penarafan yang dijejaskan oleh pandemik tersebut. – Bernama