COVID-19 tekankan perlunya perkukuh pertahanan negara

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – COVID-19 telah menunjukkan potensi pandemik yang merosakkan terutama risiko signifikan kekal terhadap kesihatan global, sekuriti sosial dan ekonomi.

Realiti gelap dihadapi ialah COVID-19 bukannya dan tidak akan menjadi ancaman kesihatan terpencil kerana panel pakar telah menyatakan bahawa dalam tahun-tahun yang mendatang, penularan akan menjadi lebih kerap, lebih berjangkit dan juga mungkin lebih merbahaya.

Oleh itu, ada keperluan mendesak bagi mengukuhkan pertahanan dengan pihak berkepentingan, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucapan pada Persidangan Khas Menteri-menteri bagi Kesihatan Awam Digital ASEAN secara maya hari ini.

Beliau berkata lagi bahawa adalah penting bagi negara untuk melaksanakan lebih banyak penyelidikan dalam bidang berkenaan supaya akan lebih memahami akan ancaman yang dihadapi. Dalam hubungan itu, penyelarasan dan penyejajaran adalah amat kritikal dengan ASEAN boleh sama-sama menerajui semula infrastruktur kesihatan global melalui perkongsian ilmu pengetahuan, maklumat dan sumber.

Beliau menerangkan bahawa plat-form perkongsian paling baik adalah yang dilengkapi dengan sains dan teknologi yang boleh membawa kepada pendekatan menyeluruh serta pada masa yang sama membantu menangani risiko bagi penduduk yang mudah terdedah.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua semasa menyampaikan kata-kata penutup pada persidangan tersebut.- Gambar serahan Jabatan Penerangan
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa mengikuti Persidangan Khas Menteri-menteri bagi Kesihatan Awam Digital ASEAN yang berlangsung secara maya.

Ketidakpastian dan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi, ulasnya, akan memerlukan inovasi, penyelarasan dan komitmen daripada semua pihak di mana sinonim dengan ASEAN ialah nilai-nilai bekerjasama dalam perpaduan dan kolaborasi untuk menghadapi risiko yang menjejaskan semua.

Perkara seterusnya yang diketengahkan oleh Yang Berhormat Dato adalah keperluan untuk membina sebuah sistem berkekalan yang akan membolehkan negara mendapat isyarat awal bagi sebarang kemungkinan pandemik dan supaya dapat bertindak ke atasnya dengan lebih efektif.

Bagi mencapai hasrat itu, negara harus menyedari bahawa kesihatan awam tidak dapat berkembang secara bersendirian tetapi perlu ada perbincangan aktif mengenai kesihatan awam serta menekankan kepada pihak-pihak yang berkepentingan bahawa terdapat keperluan mendesak bagi program kesihatan awam yang efektif.

Persidangan itu, jelas beliau, juga memberikan peluang bagi mereka untuk menumpukan usaha ke arah membina daya tahan krisis dalam pelbagai cara.

Ke arah itu, EVYD Knowledge Hub bersama-sama dengan Temasek Foundation bekerjasama dan menyokong inisiatif penyelidikan bersama antara Universiti Brunei Darussalam dan Duke-NUS dalam tinjauan antibodi pasca vaksinasi.

Selain itu, EVYD Knowledge Hub juga akan bekerjasama dengan ASEAN-EOC Network untuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan pengawasan kesihatan awam.

Persidangan khas berkenaan diadakan selama dua hari bermula kelmarin di mana ia membawa tema Collaborate for a Happier and Healthier World Post Pandemic. Persidangan itu mengetengahkan perlunya bagi pemimpin ASEAN untuk bekerjasama dalam penyelesaian yang mampan dan berdaya maju untuk membangunkan sistem penjagaan kesihatan berdaya tahan yang mampu bertahan terhadap cabaran masa hadapan.