COVID-19 terus tagih korban

BEIJING/TOKYO, 20 FEB – Jumlah orang yang dijangkiti COVID-19 di seluruh tanah besar China, mencecah 74,576, dengan 2,118 pesakit meninggal dunia, lapor agensi berita Sputnik memetik Suruhanjaya Kesihatan Negara itu hari ini.

“Suruhanjaya itu menerima maklumat mengenai 74,576 kes disahkan dari 31 wilayah (rantau dan majlis perbandaran), termasuk 56,303 pesakit, 11,864 dalam keadaan kritikal, 2,118 meninggal dunia dan 16,155 dibenarkan keluar hospital,” kata suruhanjaya dalam satu kenyataan.

Dalam tempoh 24 jam lalu, pihak berkuasa mendaftarkan sebanyak 394 kes baharu dan 114 kematian, termasuk 108 orang di wilayah Hubei.

Bagi tempoh sama, 1,277 kes baharu disyaki direkodkan, manakala lebih 126,000 orang yang berhubung dengan pesakit, berada di bawah pemantauan perubatan. Manakala di Jepun, dua warga emas yang dikuarantin kerana positif COVID-19 dalam kapal persiaran di perairan Jepun meninggal dunia, lapor media tempatan.

Laporan agensi penyiaran NHK dan media tempatan yang memetik sumber kerajaan itu berkata, dua yang maut itu adalah penumpang lelaki dan wanita berusia lingkungan 80an. Ia adalah kes kematian pertama COVID-19 membabitkan 621 orang daripada 3,711 penumpang dan kru dalam kapal persiaran Diamond Princess yang disahkan dijangkiti COVID-19.

Dalam pada itu, ratusan kes dilaporkan di negara-negara baharu termasuk dua di Iran – kedua-dua pesakit maut, yang pertama di negara itu. Hong Kong pula melaporkan kematian kedua, membuktikan koronavirus itu masih lagi berbahaya. – AFP/Bernama

Sebuah bas membawa penumpang daripada kapal persiaran yang dikuarantin, Diamond Princess diiringi oleh kenderaan pasukan pertahanan Jepun, meninggalkan pelabuhan Yokohama. Penumpang yang diuji negatif COVID-19 mula turun dari kapal itu kelmarin. – AP