COVID-19: Thailand buka hospital lapangan pertama

BANGKOK, 25 MAC –  Thailand hari ini membuka hospital lapangan pertama untuk pesakit COVID-19 tidak kritikal di Universiti Thammasat kampus Rangsit di Pathum Thani, utara Bangkok.

Asrama Dluxx Thammasat 14 tingkat dengan kemudahan 308 katil itu akan menempatkan pesakit yang mempunyai gejala ringan atau tidak mempunyai simptom COVID-19. Dekan Fakulti Perubatan Universiti Thammasat, Prof Madya Dilok Piyayotai berkata pesakit yang dirawat selama lima hingga tujuh hari dan masih menunjukkan gejala ringan COVID-19 akan dipindahkan ke hospital.

“Kami menjangkakan lebih banyak kes positif dalam satu atau dua minggu dan kami mungkin memerlukan lebih banyak katil hospital. Oleh itu, penubuhan hospital lapangan untuk pesakit tidak kritikal akan mengurangkan masalah kekurangan katil di hospital sedia ada.

“Kumpulan 10 pesakit pertama akan dipindahkan ke sini hari ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat hospital lapangan itu. – Bernama