COVID-19: Thailand rekod satu lagi kematian

BANGKOK, 24 JAN – Thailand merekodkan 198 kes baharu COVID-19 dan satu kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu sebanyak 13,500 dengan 73 kematian.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata daripada 198 kes baharu itu, 191 adalah penularan tempatan, termasuk 118 yang melibatkan mereka yang mengunjungi kawasan berisiko tinggi manakala 73 dikesan positif melalui pengesanan kes aktif.

Beliau berkata, tujuh kes diimport termasuk dua kes – seorang lelaki Myanmar dan seorang wanita Thailand – yang memasuki negara itu dari Malaysia melalui sempadan selatannya.

“Kes kematian tunggal itu melibatkan wanita warga Thailand berusia 73 tahun yang merupakan kontak rapat pesakit COVID-19 dalam keluarganya. Beliau didapati positif pada 9 Januari. Wanita yang kesihatannya merosot itu telah meninggal pada Sabtu,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Wabak terbaharu di Thailand bermula di pasar makanan laut di Samut Sakhon, sebuah wilayah di selatan Bangkok sejak pertengahan Disember lepas dan hingga kini telah mengakibatkan 9,263 kes dan 12 kematian.

Sementara itu, Thailand akan membenarkan sektor swasta memperoleh vaksin COVID-19, namun perlu terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) negara itu.

Jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha telah memberi lampu hijau kepada syarikat swasta untuk mengimport vaksin COVID-19.

“Pihak FDA akan menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin sebelum membenarkan syarikat swasta memvaksinasi orang ramai,” katanya sebagaimana dipetik dari The Nation English. – Bernama

Gambar fail bertarikh 21 Januari menunjukkan seorang pengawal keselamatan memakai penutup mulut dan hidung berjalan di sepanjang pejalan kaki di Bangkok. Pada 24 Januari, Thailand telah merekodkan 198 kes baharu COVID-19 dengan satu kematian. – AFP