Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Setakat 12 tengah hari ini, tiada kes jangkitan COVID-19 dicatatkan di Negara Brunei Darussalam menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal seramai 146 orang dan tiada kes aktif.
Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 dilaporkan pada 6 Mei dan jumlah kes import sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan ialah lima kes.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, mengenai situasi terkini jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, jumlah mereka yang sedang menjalani pengasingan diri mandatori ialah seramai 340 orang dan jumlah mereka yang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020 ialah seramai 6,822 orang.
Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 308 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 62,703 ujian.
Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa bagi orang ramai yang ingin mendapatkan ujian saringan SARS-CoV-2 (swab test), terutama bagi mereka yang ingin membuat perjalanan keluar negara hendaklah menjalankan ujian saringan berkenaan sekurang-kurangya tiga ke lima hari sebelum tarikh penerbangan mereka iaitu tertakluk kepada syarat-syarat negara yang akan dituju.
Hasil bagi ujian berkenaan akan mengambil masa dan orang ramai hendaklah bersabar untuk mendapatkan keputusan ujian mereka.
Orang ramai yang ingin mendapatkan ujian SARS-CoV-2 bagi perjalanan keluar negara boleh mendapatkan ujian berkenaan di Pusat Kesihatan Berakas iaitu Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan dari pukul 2 hingga 4 petang manakala pada Jumaat, Ahad dan hari kelepasan awam dari pukul 2 hingga 5:30 petang. Bagi Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleh ia dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 10 malam dan ditutup pada hari kelepasan awam. Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi, BruHealth.