COVID-19: Tiada kes baharu dilaporkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di negara ini, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 141 orang, manakala jumlah kes yang telah sembuh masih 138 orang.

Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, hanya seorang pesakit masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

“Beliau masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan. Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allah SWT memberikan kesihatan yang sepenuhnya kepada beliau,” ujar Yang Berhormat Dato pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sementara itu, tambah beliau, pada masa ini, seramai 53 orang sedang menjalani kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Manakala seramai 2,770 orang telah menamatkan tempoh kuarantin dan dalam keadaan yang baik.

Menurutnya lagi, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 245 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 25,078 ujian.

Mengenai aplikasi BruHealth, beliau mengongsikan bahawa setakat ini seramai 381,751 orang telah mendaftar ke dalam aplikasi tersebut.

Bagi syarikat dan premis pula, sejumlah 8,587 telah mendaftar kepada aplikasi BruHealth, manakala itu sebanyak 4,516 premis perniagaan telah memuat turun aplikasi PremiseScan.

“Semua premis adalah dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi tersebut bagi memudahkan pengimbasan kod QR terutama kepada orang ramai yang tidak mempunyai telefon bimbit untuk masuk ke premis berkenaan,” tegas Yang Berhormat Dato.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.