COVID-19: Tiada kes jangkitan baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di negara ini, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 141 orang dan tidak ada kes aktif yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau turut mengongsikan bahawa seramai 18 orang masih menjalani kuarantin, mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Manakala seramai 2,805 orang telah menamatkan tempoh kuarantin dan adalah dalam keadaan yang baik.

Tambah beliau, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 277 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 25,600 ujian.

Berhubung mengenai aplikasi BruHealth, setakat ini seramai 386,936 orang ahli telah mendaftar ke dalam aplikasi tersebut. Bagi syarikat dan premis pula sejumlah 9,371 telah mendaftar kepada aplikasi BruHealth, manakala itu sebanyak 5,020 premis perniagaan telah memuat turun aplikasi PremiseScan.

Yang Berhormat Dato terus menasihatkan semua premis untuk memuat turun aplikasi PremiseScan bagi memudahkan pengimbasan kod QR terutama sekali kepada orang ramai yang tidak mempunyai telefon bimbit untuk masuk ke premis berkenaan.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan pada sidang media tersebut. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manaf bin Othman.