COVID-19: Tidak ada kes baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 141 orang, ketika Kementerian Kesihatan melaporkan tidak ada kes baharu jangkitan virus semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

“Pada masa ini, hanya satu kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan.
“Beliau masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan.

“Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allah SWT memberikan syifa kepada beliau. Aamiin Ya Rabbal Alamiin,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dengan menyatakan jumlah kes sembuh seramai 138 orang.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya mengatakan sebanyak 261 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 dalam tempoh 24 jam lalu yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 19,885.

Berhubung aplikasi BruHealth, Yang Berhormat Dato berkata setakat ini sejumlah 268,388 orang dan 5,039 syarikat serta premis telah mendaftar sebagai pengguna aplikasi tersebut.

Bagi maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth atau healthinfo.gov.bn.