COVID-19 tidak halang tunai puasa

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, COVID-19 tidak seharusnya mengganggu umat Islam untuk menunaikan ibadat puasa, yang mana COVID-19 adalah satu perkara, sedang ibadat puasa pula satu perkara lain.

“Jika kita dalam keadaan sihat afiat, tidak ada sebab untuk menjadikan COVID-19 sebagai penghalang kita berpuasa,” tegas Baginda lagi semasa bertitah sempena Menyambut Bulan Ramadan 1441 Hijrah/ 2020 Masihi.

Baginda menjelaskan perkara tersebut bukan saja dirasakan oleh Brunei malah di seluruh dunia sama-sama merasakan sehingga untuk beberapa ketika, kita terpaksa menangguhkan kehadiran ke masjid, surau dan balai ibadat bagi mengerjakan sembahyang Fardu Jumaat dan sembahyang berjemaah biasa.

“Ramadan kali ini, tentu saja berbeza pada Ramadan yang lalu, perbezaan itu ialah dari segi suasana menghadapinya. Beberapa bulan sebelum Ramadan kita telah dikejutkan oleh wabak COVID-19 yang membawa kepada ketidakselesaan bahkan ketakutan.”

Baginda turut menegaskan, “Ini kita lakukan adalah sebagai usaha untuk mengelakkan risiko jangkitan COVID-19, namun Alhamdulillah dengan izin Allah jua, wabak nampaknya dapat dikawal dengan berkesan.”

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah sempena Menyambut Bulan Ramadan 1441 Hijrah. – Gambar oleh Infofoto

Baginda turut percaya ini kerana usaha pencegahan secara bersepadu dan juga faktor doa yang diamalkan adalah segalanya.

Dalam bulan Ramadan, titah Baginda lagi, biasanya orang Islam akan memeriahkan masjid, surau dan balai ibadat dengan sembahyang Sunat Tarawih berjemaah tapi pada kali ini, sekiranya keadaan belum mengizinkan untuk berkumpul beramai-ramai, masih ada cara lain untuk menunaikan sembahyang Sunat Tarawih iaitu bersama keluarga di rumah.

Ini sama juga dengan bertadarus Al-Quran, titah Baginda, ia masih saja dapat dibuat di rumah sendiri dengan keluarga dan anak-anak, pendeknya kita tidak kehabisan cara untuk mengerjakannya bagi meraih pahala di bulan Ramadan.

Perlu disedari, Ramadan cuma sekali dalam setahun dan dalam bulan ini terdapat satu malam dinamakan Malam Al-Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan dan dalam makna beribadat di dalamnya boleh meraih pahala lebih daripada seribu bulan.

Baginda seterusnya bertitah menyeru semua untuk berazam merebutnya dan selepas Ramadan kita akan memasuki bulan Syawal pula untuk menyambut Hari Raya. Biasanya Hari Raya kita sambut dengan kemeriahan tapi ketentuan Allah telah menjadikannya berbeza pada tahun ini.

Dengan itu, Baginda turut menekankan yang Sembahyang Sunat Hari Raya akan terpaksa ditiadakan, begitu juga tradisi kunjung mengunjungi turut ditegah untuk mengelakkan sebarang risiko COVID-19.

Baginda bertitah turut mengingatkan untuk bersabar menghadapi situasi ini dengan menganggap apa yang berlaku itu mempunyai hikmah di sisi Allah.

Titah Baginda lagi, di samping bersabar kita juga dituntut berusaha dengan
apa juga cara seperti mengambil langkah pencegahan dan seumpamanya.

Selaku orang Islam, titah Baginda, kita juga mempunyai kelebihan tersendiri iaitu digalakkan untuk menghadapi apa saja bencana dengan doa.

“Marilah lakukan ia dan lebih-lebih lagi kebetulan pula, dalam bulan Ramadan yang penuh berkat ini, doa orang berpuasa adalah sangat ampuh dan mustajab.”

Menyebut tentang kelebihan doa ini, Baginda teringat dengan Doa Qunut Nazilah yang dibaca dalam sembahyang Fardu Jumaat dan hingga sekarang, kita masih belum dapat menunaikan sembahyang tersebut, sekali gus tidak dapat membaca doa Qunut Nazilah itu.

Baginda seterusnya menyarankan Qunut Nazilah perlu diteruskan diamalkan terutama dalam situasi kita menghadapi COVID-19.

“Ini kerana beta difahamkan, Qunut Nazilah tidak semestinya dilakukan di masjid secara berjemaah pada hari Jumaat malah ia juga boleh dibuat di rumah sama ada secara berjemaah dengan keluarga atau bersendirian dalam sembahyang fardu lima waktu tetapi masih juga boleh dipilih mana waktu yang kita mampu atau sesuai melakukannya.

“Ini sama ada seperti dalam sembahyang Fardu Subuh atau Maghrib tanpa memestikan ia dibuat dalam kesemua lima waktu yang penting qunut ini terus dibaca sementara menunggu masjid, surau dan balai ibadat beroperasi semula,” tegas Baginda.

Untuk kemudahan orang ramai melakukan semua ini, titah Baginda, pihak berkenaan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, perlu mengambil inisiatif menyediakan panduan dan Doa Qunut yang bersesuaian, seeloknya ringkas dan mudah tetapi padat menepati tujuan.

Baginda turut berpendapat bukan saja kita di Brunei, malah umat Islam seluruh dunia adalah sangat wajar untuk sama-sama mengambil kesempatan di bulan yang bersukut istimewa ini untuk merafakkan doa banyak-banyak supaya dunia cepat bebas dari bahaya wabak Covid-19.

“Akhirnya Beta dan keluarga Beta dengan hati suci mengucapkan selamat berpuasa, semoga kita sama-sama dikurniakan Allah kesihatan dan kesabaran di sepanjang menjalani ibadat puasa,” titah Baginda.