COVID-19: TUI kurangkan 8,000 pekerjaan

BERLIN, 13 MEI – Kumpulan pelancongan terbesar di dunia, TUI, berkata hari ini mereka merancang untuk mengurangkan 8,000 pekerjaan bagi mengurangkan kos ketika industri sedang bergelut untuk terus bertahan akibat penularan wabak koronavirus.

“Kami menyasarkan pengurangan secara kekal kos perbelanjaan sebanyak 30 peratus dari keseluruhan syarikat,” kata TUI.

“Ini akan memberi kesan kepada kira-kira 8,000 jawatan di seluruh dunia yang mana tidak akan diambil bekerja atau dikurangkan.”

Menyatakan impak krisis, syarikat tersebut melaporkan kerugian bersih sebanyak 763.6 juta euro untuk suku kedua sehingga bulan Mac.

Untuk menghentikan penyebaran koronavirus, kebanyakan negara telah menutup sempadan mereka dan melarang pelancongan, menyebabkan pesawat-pesawat digantung sementara waktu daripada beroperasi dan kapal persiaran terus berada di pelabuhan sementara hotel-hotel menjadi kosong. – AFP