COVID-19: Tujuh kes baharu dilapor, tiada penularan tempatan

PUTRAJAYA, 9 JUN – Malaysia hari ini mencatat kes COVID-19 satu angka, untuk dua hari berturut-turut dengan tiada kes penularan dalam negara melibatkan kalangan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan tujuh kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dalam negara adalah sebanyak 8,336 kes.

“Daripada tujuh kes baharu yang dilaporkan, enam kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala satu kes penularan di dalam negara melibatkan pekerja bukan warganegara (iaitu kes saringan untuk mula berkerja).

“Sukacita dimaklumkan bahawa hari ini, tiada kes penularan dalam negara dicatatkan di kalangan warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini adalah 1,244 kes dan kesemua mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Terdapat 281 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj, yang merupakan jumlah discaj paling tinggi pernah dicatat setakat ini.

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,975 kes, atau 83.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Bernama

Seorang wakil media melihat jumlah kes keseluruhan Covid-19 di Malaysia pada paparan skrin semasa sidang media harian Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkaitan penularan wabak COVID-19 di Kementerian Kesihatan kelmarin. – Bernama