COVID-19: UAE lancar Ujian pandu lalu

ABU DHABI, 3 APRIL – Pusat pemeriksaan koronavirus pandu lalu di ibu negara UAE, Abu Dhabi telah menjadi destinasi kebanyakan orang yang ingin mendapatkan jaminan semasa pandemik.

Pusat itu, dipercayai pertama didirikan di Teluk, menerima kira-kira 600 orang sehari dalam masa 12 jam ia memulakan perkhidmatan.

Ujian adalah percuma untuk warga emas, wanita hamil dan sesiapa yang menunjukkan gejala COVID-19. Yang lainnya boleh diuji dengan harga 370 dirham. Seorang jururawat mendekati kereta untuk mengambil suhu penumpang dan seterusnya menjalankan ‘ujian swab’, satu prosedur yang mengambil masa lima minit.

“Ia lebih selamat daripada pergi ke hospital, yang menakutkan masa ini, terutamanya bagi kanak-kanak,” kata Mohammed Abdullah al-Thahnani, yang membawa keluarganya untuk diuji selepas kuarantin 14 hari sebaik tiba dari luar negara.

“Kami datang ke pusat untuk mendapatkan jaminan sebelum kami berjumpa dengan semua ahli keluarga lain,” kata bapa kepada dua anak itu.

Dalam masa dua hari, Thahnani akan menerima keputusan menerusi pesanan teks. Seorang lagi pengunjung, Abdullah, 30 tahun, berkata prosedur itu ‘lebih selesa’ daripada pergi ke hospital.

“Saya duduk dengan selesa dalam kereta, dengan penyaman udara, dan tidak rasa apa-apa kecuali terasa sedikit tusukan dalam hidung saya,” beritahunya kepada AFP.

Pihak berkuasa berkata mereka merancang melancarkan beberapa pusat pemeriksaan di seluruh tujuh negara amiriah. – AFP

Seorang jururawat menggunakan ‘swab’ untuk menguji penumpang sebuah kereta untuk COVID-19, di pusat pengesahan pandu lalu di Abu Dhabi kelmarin. – AFP