COVID-19 ubah lanskap Brunei

Oleh Salawati Haji Yahya

Melihat kepada situasi dunia dan tidak terkecuali negara kita yang masih dibelenggu penularan wabak COVID-19, setentunya sesiapa sahaja pasti terkesan dengan cabaran dan dugaan yang diwujudkan oleh wabak berkenaan.

Jika dilihat dari kaca mata biasa, COVID-19 adalah satu penyakit. Tetapi dari perspektif tauhid, dari ilmuan agama menerusi siri-siri ceramah dan pandangan agama yang kita ikuti sepanjang tempoh COVID-19 ini, ia adalah tentera Allah SWT yang dikirimNya untuk menegur, memperingat atau menghukum perbuatan manusia masa kini.

Perkara itu dikongsikan pada wawancara bersama Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Pandu Sambutan Majlis Ilmu 2021 sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75 tahun baru-baru ini.

Jelas Yang Berhormat Pehin, tema Majlis Ilmu 2021 iaitu COVID-19 Satu Iktibar tepat pada masanya dan signifikan di mana skopnya amat luas dan ia boleh melihat dari perspektif perubatan dan kesihatan, agama, ekonomi, sosial, pendidikan, politik, teknologi dan sebagainya.

Dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, penggunaan ‘vaksin ketuhanan’ masyarakat perlu sentiasa mengingati Allah SWT dengan memperbanyakkan doa, melakukan istighfar dan taubat terhadapNya, sembahyang Sunat Hajat, berzikir, membaca Qunut Nazilah, Surah Yasin dan lain-lain di samping mematuhi piawaian antarabangsa. Baginda juga menitahkan untuk komited dengan psikologi iaitu bersabar dan bertenang serta yakin kepada pertolongan Allah.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa wawancara sempena Majlis Ilmu 2021. – Gambar fail

Masyarakat yang berdisiplin

Menurut Yang Berhormat Pehin, dari perspektif individu, keluarga dan masyarakat, COVID-19 telah memupuk, membentuk dan menjadikan individu, keluarga dan masyarakat lebih berdisiplin.

COVID-19 melatih dan memperkukuhkan disiplin diri dalam beribadat dan dalam kehidupan seharian. Ini seperti protokol kesihatan di mana kita dikehendaki untuk sentiasa mengamalkan mencuci tangan, menggunakan pensanitasi tangan, memakai pelitup muka, menjaga penjarakan sosial, mengimbas kod QR apabila memasuki premis dan memeriksa suhu badan, mandi selepas tiba di rumah dan sebagainya.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, sepanjang gelombang pertama dan kedua ini, negara kita telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan pergerakan dan melarang perkumpulan ramai.

“Kita lebih banyak berada di rumah bersama keluarga dan secara tidak langsung kita telah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, lebih banyak masa bergaul, berinteraksi, membuat kerja bersama-sama, sembahyang berjemaah, membaca Al-Quran dan lain-lain bersama keluarga,” jelasnya.

Jelas Yang Berhormat Pehin, pada waktu biasa, dalam kesibukan semua ahli keluarga dengan aktiviti kehidupan masing-masing, kita sering menggalakkan keluarga dan menekankan mustahaknya keluarga memperuntukkan masa yang berkualiti.

Dari segi masyarakat pula, kita memelihara dan mengamalkan disiplin dengan mematuhi arahan pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan.

Sepertimana yang berlaku pada tahun 2020 di mana masyarakat berdisiplin menyumbang kepada cepatnya negara mengawal jangkitan COVID-19 dan memudahkan kerajaan melaksanakan Pelan De-Escalation, tambahnya.

Bersedia menyumbang

Pandemik ini juga telah menimbulkan kesedaran rakyat dan penduduk menjadikan mereka sebagai masyarakat yang bersedia berkhidmat dan menyumbang. Ketika negara dilanda COVID-19, ramai barisan sukarelawan tampil ke hadapan bagi sama-sama memberikan bantuan dari segi tenaga, wang dan barangan.

Di samping itu, jelas Yang Berhormat Pehin kita perlu sentiasa memberi galakan dan sokongan padu agar semangat bersedia menyumbang ini terus bersemarak dan menjadi teladan terbaik generasi akan datang. Kita semua bersatu memikul tanggungjawab ini dengan satu tujuan untuk menyelamatkan negara dari COVID-19.

“Pandemik ini telah banyak memberi kita iktibar, dan setentunya banyak hikmah di sebalik pandemik COVID-19 ini,” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan, COVID-19 ini juga telah mengubah landskap dunia di mana negara kita juga tidak terkecuali dari perkara ini. Berbagai pengalaman dan pengetahuan diraih sejak COVID-19 ini dan tidak dinafikan wabak ini telah memberikan impak yang besar dalam pelbagai aspek kehidupan dan yang nyata hampir dua tahun, kita hidup dalam norma baharu.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, cabaran-cabaran yang kita hadapi sekarang Insya-Allah akan dapat kita tangani dengan menggunakan pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan masyarakat secara amnya telah pun mengambil langkah bagi sama-sama menangani cabaran-cabaran yang kita hadapi.

Langkah pengawalan

Penularan wabak COVID-19 juga telah mengharuskan kerajaan untuk membuat perubahan dari segi inisiatif, dasar, akta dan perundangan. Perubahan-perubahan dilaksanakan bagi mengharungi cabaran-cabaran daripada pandemik, seterusnya agar ia selari dengan keperluan pasca COVID-19.

Sejak awal pandemik COVID-19 melanda negara ini, kita mengamalkan komunikasi yang telus dengan orang ramai dan syabas dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan kerana secara konsisten memberikan maklumat setiap hari mengenai situasi COVID-19 dan mengelakkan andaian dan maklumat tidak sahih.

Orang ramai tahu dan faham akan strategi dan matlamat yang akan dituju dan dengannya, mereka telah dan akan terus mendukung dan menyokong usaha-usaha kerajaan. Dalam gelombang kedua ini sasaran negara ialah untuk memastikan 80 peratus penduduk mendapat dua vaksinasi untuk memulakan langkah membuka sektor-sektor tertentu.

Adaptasi

“Kita juga telah melihat peningkatan pembudayaan inovasi komunikasi dan teknologi dalam aspek pendidikan, pengurusan, keselamatan dan perusahaan.

“Ini selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, yang mana dasar utamanya bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara pintar serta mendorong dan meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi negara melalui transformasi digital,” katanya.

Sehingga hari ini, kita dapat menyaksikan pertumbuhan positif sektor borong dan runcit, restoran dan perniagaan. Manakala dari segi pendidikan pula, kita melihat guru-guru dan murid-murid meneruskan dan membiasakan diri dengan pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.

Dari segi pekerjaan pula, jika sebelum ini bekerja dari rumah dianggap sesuatu yang masih belum biasa, tetapi setelah adanya perintah untuk teranah di rumah, non-essential workers dari sektor kerajaan mahupun sektor swasta mula menerima budaya bekerja dari rumah.

Sekarang ini, kerja-kerja dan mesyuarat-mesyuarat dilaksanakan dalam talian dan sebagai majikan dan pekerja perlu berubah di mana perubahan ini dari norma biasa kepada norma baharu, tambahnya.

Jika dilihat di peringkat serantau dan antarabangsa pula, COVID-19 merapatkan hubungan kerjasama dan bantu-membantu dan Yang Berhormat Pehin, amat berbesar hati di atas kerjasama dan sumbangan-sumbangan vaksin, peralatan perubatan dari negara-negara sahabat.

Dengan adanya sumbangan tersebut, negara kita dapat membendung penularan COVID-19 dan dalam masa yang sama negara juga menghulurkan sumbangan kepada negara-negara sahabat di rantau ini.

Sumbangan ini jelas mempamerkan keakraban hubungan persahabatan dan diplomatik yang erat di antara Negara Brunei Darussalam dengan negara-negara ASEAN dan serantau.

Tambah Yang Berhormat Pehin, dalam mengharungi gelombang kedua ini, negara sedang melaksanakan langkah-langkah strategik melalui Operasi Pulih di mana melalui strategi ini, jika tahap vaksinasi penuh mencapai 70 peratus, kita akan dapat membuka masjid, balai-balai ibadat, surau-surau bagi sembahyang Fardu Jumaat dan lima waktu.

Beliau seterusnya menambah, jika kadar vaksinasi penuh mencapai 80 peratus, kita akan dapat menimbangkan untuk membuka premis-premis tertentu dengan mengamalkan protokol kesihatan.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, iktibar diambil melalui wabak ini, telah memberi kesan yang besar kepada kehidupan segenap lapisan masyarakat. Ia turut menjejaskan golongan pengusaha dan peniaga dari kecil sehingga besar serta multinasional.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Pehin percaya kejayaan negara membendung COVID-19 ini dalam gelombang pertama dan Insya-Allah dalam gelombang kedua adalah kerana masyarakat kita yang berdisiplin. Di sebalik semua ini, COVID-19 adalah manifestasi perpaduan masyarakat dan ia adalah satu ujian mengukur ketahanan kita sebagai sebuah bangsa, berdiri teguh di bawah kepimpinan bijaksana Baginda Sultan, jelasnya.