COVID-19 ujian Allah SWT

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), kelmarin, telah mengadakan majlis ceramah khas secara maya sebagai salah satu acara sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia pada tahun ini.

Majlis dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin selaku tetamu kehormat.

Ceramah khas bertajuk ‘COVID-19: Allah Sayang’ telah disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Mohammad Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof yang antara lain menekankan pentingnya sentiasa bersangka baik bahawa COVID-19 sebagai ujian dari Allah SWT, termasuk menghayati dengan penuh keinsafan beberapa hikmah di sebaliknya.

“Perlunya kita sentiasa bermuhasabah diri dan mensyukuri nikmat-nikmat yang diberikan seperti nikmat sihat, nikmat berkeluarga dan nikmat bermasyarakat selain perlunya untuk meningkatkan ketahanan diri dengan sentiasa bersabar dan memanjatkan doa dalam menghadapi ujian yang diberikan,” tambahnya.

Semasa menjalani Fasa Peralihan dan persiapan ke Fasa Endemik kelak di mana perlunya warga perkhidmatan awam khususnya untuk menyesuaikan diri dengan beberapa norma baharu, beliau menekankan sifat tanggungjawab dan disiplin diri dengan menjadikan tugasan kerja masing-masing sebagai amanah yang perlu ditangani secara hikmah dan bijaksana.

Sesi ceramah turut mengongsikan beberapa doa harian untuk diamalkan.

Antara yang hadir mendengarkan ceramah khas sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia secara maya.