COVID-19: WHO gantung penggunaan Hydroxychloroquine

GENEVA, 26 MEI – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata kelmarin bahawa mereka akan mengantungkan sementara ujian klinikal hydroxychloroquine sebagai rawatan berpotensi untuk koronavirus.

Keputusan tersebut dibuat selepas kajian yang diterbitkan jurnal perubatan The Lancet, minggu lalu mencadangkan bahawa ubat itu dapat meningkatkan risiko kematian dalam kalangan pesakit COVID-19, kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media maya.

Tedros berkata kumpulan eksekutif yang disebut sebagai Solidarity Trial, di mana ratusan hospital di seluruh dunia telah mendaftarkan pesakit untuk menguji beberapa kemungkinan rawatan untuk koronavirus, telah menangguhkan percubaan menggunakan ubat itu sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kumpulan Eksekutif telah menghentikan sementara hydroxychloroquine dalam Solidarity Trial sementara data keselamatan disemak oleh Lembaga Pemantau Keselamatan Data,” kata Tedros.

“Bahagian percubaan yang lain masih diteruskan.”

WHO akan mengantungkan sementara ujian klinikal hydroxychloroquine sebagai rawatan berpotensi untuk koronavirus kerana dikatakan ubat itu dapat meningkatkan risiko kematian dalam kalangan pesakit COVID-19. – AFP

Hydroxychloroquine biasanya digunakan dalam merawat artritis tetapi tokoh masyarakat termasuk Presiden Donald Trump telah menyokong ubat itu sebagai rawatan virus, mendorong kerajaan untuk membeli dalam kuantiti yang banyak.

Trump berkata minggu lalu bahawa beliau mengambil ubat tersebut sebagai langkah berjaga-jaga, tetapi dalam temu bual yang disiarkan Ahad lalu di Sinclair Broadcasting, beliau berkata bahawa beliau telah menyelesaikan preskripsi.

“Selesai, baru selesai,” kata Trump. “Dan saya masih di sini. Sepengetahuan saya, saya masih di sini”.

Menteri kesihatan Brazil mengesyorkan penggunaan hydroxychloroquine minggu lalu, serta chloroquine anti-malaria, untuk merawat kes ringan COVID-19.

Kajian The Lancet mendapati bahawa kedua-dua ubat tersebut dapat memberi kesan sampingan yang berpotensi serius, terutama aritmia jantung.

Dan kedua-dua ubat tersebut tidak membantu pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19, menurut kajian itu, yang mencatatkan 96,000 pesakit di ratusan hospital. – AFP