COVID-19: WHO risau kematian di Eropah meningkat

COPENHAGEN, 23 NOV – Eropah masih ‘dalam genggaman kuat’ COVID-19 dan kadar kematian di benua itu mungkin melepasi 2.2 juta pada musim sejuk sekiranya trend ketika ini berterusan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kelmarin.

Kira-kira 700,000 mungkin meninggal dunia dalam beberapa bulan akan datang, menurut WHO, ketika kes jangkitan terus meningkat di seluruh Eropah, menyebabkan beberapa buah negara untuk melaksanakan semula sekatan ketat.

WHO menjangkakan ‘bebanan hebat bagi unit rawatan rapi (ICU) bagi 49 daripada 53 buah negara antara sekarang dan 1 Mac 2022.

“Kematian kumulatif yang dilaporkan dijangka mencecah lebih 2.2 juta menjelang tahun hadapan,” tambah kenyataan, meningkat 1.5 juta pada ketika ini. COVID-19 adalah punca utama kematian di seluruh Eropah dan Asia Tengah, menurut laporan WHO, memetik angka daripada Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan.

Peningkatan di Eropah dipacu oleh gabungan varian Delta yang mudah berjangkit, liputan vaksinasi yang tidak memadai dan langkah pelonggaran sekatan seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal, menurutnya.

Menurut data WHO, kematian berkaitan COVID-19 meningkat minggu lalu kepada hampir 4,200 sehari, dua kali ganda berbanding 2,100 kematian sehari pada penghujung September.

WHO turut berkata bukti meningkat bahawa perlindungan vaksin terhadap jangkitan dan penyakit sederhana telah menurun. “Situasi COVID-19 di seluruh Eropah dan Asia Tengah adalah sangat serius. Kami berdepan dengan cabaran musim sejuk,” menurut pengarah wilayah bagi WHO Eropah, Hans Kluge, dalam kenyataan.

Dia menyeru untuk langkah ‘vaksin plus’ yang merangkumi vaksinasi, penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan mencuci tangan.

WHO berkata pelitup muka mengurangkan kejadian COVID-19 kepada 53 peratus menurut kajian baru-baru ini dan “lebih 160,000 kematian mampu dihalang (menjelang 1 Mac) sekiranya liputan pelitup muka universal 95 peratus berjaya dicapai.” – AFP

Seorang kakitangan kesihatan memindahkan pesakit yang meninggal dunia akibat COVID-19 di Paris. WHO berkata kadar kematian berpunca daripada COVID-19 di Eropah mungkin melepasi 2.2 juta. – AFP