Sunday, March 23, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    COVID-19: PDB, agensi penguat kuasa tingkatkan kawalan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Susulan pengesahan kes pertama koronavirus COVID-19 dan pertambahan kes diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) turut mengatur rangka tindakan atau strategi bagi meningkatkan lagi kawalan bersama agensi-agensi penguat kuasa yang lain untuk membantu mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.

    Sehubungan itu, PDB telah mengerah anggotanya untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab pengawalan seperti yang ditetapkan dalam peruntukan di bawah Seksyen 63 Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dengan membantu Kementerian Kesihatan menguatkuasakan kuarantin, tugas-tugas mengawal dan menghalang orang yang tidak berkenaan memasuki dan keluar dari tempat dan kawasan kuarantin, memantau mangsa jangkitan agar tidak melanggar peraturan kuarantin seperti meninggalkan tempat dan kawasan kuarantin serta mengadakan rondaan di sekeliling kawasan yang terjejas bagi memastikan kawasan tidak dicerobohi.

    Dalam hal ini, PDB juga menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam mengeluarkan dan menyebarkan maklumat-maklumat dan berita tidak sah dan berasas berkaitan wabak tersebut.

    PDB juga menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya dan merasa cemas dengan maklumat-maklumat yang disebarkan di laman-laman sesawang atau mana-mana laman media sosial yang belum pasti kesahihannya.

    Penyebaran maklumat dan berita palsu ini dipandang serius dan sesiapa yang didapati melakukannya sehingga mengganggu ketenteraman negara akan diambil tindakan undang-undang di bawah perundangan Penggal 148 Akta Ketenteraman Awam Seksyen 34.

    Akta itu memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun dan denda $3,000 jika sesiapa didapati sama ada, secara lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda