Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    COVID: 231 lagi kes baharu dicatat

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Sebanyak 1,708 dos vaksin telah diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama kepada 24,530 dos iaitu 57.2 peratus.

    “Manakala, sebanyak 1,194 dos kedua vaksin COVID telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun yang membawa kepada jumlah dos kedua yang diberikan kepada kanak-kanak di dalam kumpulan umur ini kepada 3,582 dos iaitu 8.3 peratus,” kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Sementara itu, menurut beliau lagi, liputan bagi rakyat dan penduduk negara ini yang telah mendapatkan tiga dos vaksin adalah pada kadar 66.3 peratus.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya mengongsikan bahawa sebanyak 231 kes baharu jangkitan COVID telah dilaporkan pada hari ini, iaitu 224 kes hasil ujian pantas antigen (ART) dan tujuh kes hasil 338 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    “Oleh itu, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam setakat ini ialah 142,858 kes,” jelasnya lagi.

    Yang Berhormat Dato juga memaklumkan bahawa tidak ada kes yang dikategorikan dalam kategori 5, yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU), manakala itu, dua kes sedang berada dalam kategori 4, yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

    “Sebanyak 133 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 141,806 kes,” ujar Yang Berhormat Dato sambil menambah, terdapat sebanyak 833 kes aktif iaitu 11 kes sedang dirawat di hospital manakala 822 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menyeru orang ramai untuk terus berdoa semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya akan sentiasa terpelihara daripada segala bencana, termasuk apa-apa jua jenis wabak penyakit.

    Beliau berharap semoga kita sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menghadiri sidang media tersebut. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Ang Swee Hui.
    Liputan bagi rakyat dan penduduk negara ini yang mendapatkan tiga dos vaksin ialah 66.3 peratus.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...