Saturday, June 10, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    COVID: 262 kes baharu dicatatkan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Sebanyak 196 dos pertama vaksin COVID telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama kepada 32,836 dos iaitu 76.5 peratus.

    “Manakala, sebanyak 1,176 dos kedua vaksin juga diberikan kepada golongan tersebut yang membawa jumlah keseluruhan pemberian dos kedua kepada 13,058 dos iaitu 30.4 peratus,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    “Sementara itu, liputan bagi rakyat dan penduduk negara ini yang telah mendapatkan tiga dos vaksin adalah pada kadar 69 peratus,” katanya lagi.

    Menurut beliau, sebanyak 262 kes baharu jangkitan COVID telah dilaporkan hari ini, iaitu 253 kes hasil ujian ART dan sembilan kes hasil daripada 341 ujian RT-PCR yang telah dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

    Oleh itu, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam setakat ini ialah 145,783 kes.

    Yang Berhormat Dato kemudiannya menjelaskan bahawa tidak ada kes yang dikategorikan dalam kategori 5 iaitu mereka yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) dan tidak ada kes dalam kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantau rapi.

    “Sebanyak 143 kes disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 143,620 kes,” katanya.

    Jumlah kes aktif pula ialah sebanyak 1,942 kes iaitu 17 kes sedang dirawat di hospital manakala 1,925 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

    Di hujung kenyataannya, beliau menyeru orang ramai untuk terus berdoa memohon rahmat dan perlindungan Allah SWT, semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya akan sentiasa terpelihara daripada segala musibah dan bencana wabak penyakit.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa mengongsikan statistik terkini jangkitan COVID, kelmarin. – Gambar oleh James Kon
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Jepun semak semula undang-undang

    TOKYO, 9 JUN - Jepun meluluskan undang-undang imigresen yang membenarkan kerajaan menghantar pulang pencari suaka yang gagal, walaupun mendapat tentangan daripada parti pembangkang dan...
    - Advertisment -