Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    COVID: 297 kes baharu dilaporkan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Sebanyak 297 kes baharu jangkitan COVID telah dilaporkan pada hari ini, iaitu 294 kes hasil ujian pantas antigen (ART) dan tiga kes hasil 282 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    “Oleh itu, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam setakat ini ialah 144,956 kes,” kongsi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku wakil menteri kesihatan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan bahawa tidak ada kes dikategorikan dalam kategori 5, yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU), dan kategori 4, yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

    Seterusnya, Yang Berhormat Pehin berkata, “Sebanyak 272 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 143,060 kes.

    “Jumlah kes aktif pula ialah sebanyak 1,675 kes iaitu 15 kes sedang dirawat di hospital manakala 1,660 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah,” jelasnya.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui.

    Pada sidang media tersebut juga, Yang Berhomat Pehin memaklumkan bahawa satu kes COVID telah meninggal dunia dalam masa 24 jam yang lalu, di mana kes tersebut tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID.

    Di kesempatan itu, beliau mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

    “Semoga keluarga mendiang diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi pemergiannya,” kata beliau.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri kemudiannya memaklumkan bahawa oleh sebab semua pusat vaksinasi tidak beroperasi kelmarin, statistik terkini program vaksinasi kekal seperti yang dinyatakan dalam sidang media kelmarin iaitu 74.4 peratus kanak-kanak dalam kumpulan umur lima hingga 11 tahun telah mendapatkan dos pertama vaksinasi COVID-19 dan 23.1 peratus juga telah mendapatkan dos kedua.

    “Sementara itu, 68.4 peratus rakyat dan penduduk negara ini telah menerima tiga dos vaksin,” tambah beliau.

    Di hujung kenyataannya, beliau menyeru orang ramai untuk terus berdoa semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya akan sentiasa terpelihara daripada segala musibah dan bencana wabak penyakit.

    “Semoga kita sentiasa berada dalam perlindungan dan rahmat Allah SWT. Amin Amin Ya Rabbalalamin.”

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...