Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    COVID: Brunei catat 2,012 kes baharu

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Dalam satu minggu kebelakangan ini, jumlah kes COVID yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam adalah pada kadar purata kira-kira 1,667 kes setiap hari.

    “Sebanyak 65,240 keputusan ujian ART telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 17.8 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media COVID di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini. Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Yang Berhormat Dato mengongsikan jumlah kes dalam kategori 4 dan 5 terus berada di tahap yang rendah yang mana hari ini, dua kes kategori 5, manakala tiga kes kategori 4.

    Menurut beliau, sepertimana dalam beberapa minggu kebelakangan ini, lebih 99 peratus kes-kes yang dikesan telah dikategorikan 1 atau 2 dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

    “Mengenai kadar liputan vaksinasi COVID di negara ini, setakat 11 Julai 2022 sekitar 73.7 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin manakala 4.2 peratus yang telah mendapatkan dos keempat.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa mempengerusikan sidang media COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. Turut hadir Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin.

    “Selain itu, sebanyak 77.2 peratus kanak-kanak lima hingga 11 tahun telah mendapatkan dos kedua vaksin; manakala 51.3 peratus remaja 12 hingga 17 tahun telah mendapatkan dos ketiga vaksin.

    “Hari ini, sebanyak 2,012 kes baharu telah dilaporkan iaitu 2,001 kes hasil ujian ART dan 11 kes adalah hasil 244 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu,” kongsi beliau lagi. Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk memuat naik keputusan ujian ART, sama ada positif atau negatif ke aplikasi BruHealth untuk membantu Kementerian Kesihatan memantau situasi jangkitan.

    Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan kemas kini dasar bagi pelawat di hospital-hospital kerajaan, berikutan situasi jangkitan COVID pada masa ini.

    Menurutnya, hanya dua orang pelawat sahaja dibenarkan bagi setiap pesakit setiap hari dan setiap pelawat juga dikehendaki mempunyai keputusan ujian ART yang negatif pada hari sama.

    Sementara itu, pelawat yang dikategorikan sebagai kontak terdekat atau mereka yang mempunyai tanda-tanda jangkitan adalah tidak dibenarkan untuk melawat walaupun keputusan ujian ART adalah negatif.

    “Setiap penjaga atau pendamping pesakit hendaklah mempunyai keputusan ART negatif pada hari sama dan sesiapa yang dikategorikan sebagai kontak terdekat atau mereka yang mempunyai tanda-tanda jangkitan adalah tidak dibenarkan untuk menjadi penjaga atau pendamping pesakit walaupun keputusan ART negatif.

    “Tetapi, ibu-ibu yang akan bersalin adalah dibenarkan untuk mempunyai seorang penjaga atau pendamping,” ujarnya.

    Menurut beliau lagi, kebenaran khas boleh diberikan kepada ahli keluarga terdekat bagi pesakit-pesakit yang tenat melalui pihak pentadbiran di wad-wad berkenaan.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato berdoa semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada segala bencana dan wabak penyakit serta berada di dalam perlindungan Allah SWT jua.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...