KUALA LUMPUR, 26 JULAI – Persediaan awal yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) dalam berdepan dengan peningkatan kes COVID-19 dan kebarangkalian penularan jangkitan cacar monyet dalam negara tidak memungkinkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun kawalan sempadan negara.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata setakat ini jangkitan cacar monyet dan peningkatan kes COVID-19 di dalam negara masih terkawal.
“Dari laporan KKM tadi semua dalam keadaan terkawal, mereka pantau dengan ada langkah yang mereka telah dan sedang ambil… yang agak merunsingkan sebab banyak negara lain ada peningkatan kes tetapi di Malaysia ada sedikit namun tidak mengganggu usaha yang sedang dibuat untuk mengawal keadaan.
“Tadi juga ada disebutkan tentang cacar monyet namun keadaannya terkawal di Malaysia. Dari penjelasan KKM tadi, mereka sudah bersedia dengan pengalaman lebih dua tahun uruskan pandemik COVID-19 beri mereka banyak pengajaran, mereka sudah ambil segala langkah perlu, kita harap tidak akan berulang semula cerita-cerita dahulu yang sebabkan kita terpaksa kawal sempadan atau kenakan PKP,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MPN kali ketujuh bagi tahun 2022 hari ini.
Muhyiddin berkata berdasarkan laporan KKM itu tadi, MPN juga berpuas hati bahawa KKM yang telah bersedia menghadapi apa sahaja bentuk kemungkinan sekiranya wabak berkenaan muncul kembali.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, menerusi mesyuarat itu, MPN juga bersetuju dengan saranan KKM bagi mempertingkatkan pengawasan dan advokasi mengenai cacar monyet termasuk mempertingkatkan pengawasan di pintu masuk antarabangsa negara. – Bernama