Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    COVID: Kes kumulatif kini melebihi 100,000

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Tujuh kes yang telah disahkan positif COVID pada masa ini dalam kategori 5 iaitu memerlukan bantuan mesin pernafasan dan sedang dirawat di unit rawatan intensif, sementara itu, 11 kes dalam kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar turut mengongsikan bahawa sebanyak 3,155 kes baharu telah dilaporkan pada hari ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 100,173 orang.

    Daripada jumlah kes baharu itu, 2,519 adalah hasil ujian pantas antigen (ART) yang telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth manakala 636 adalah hasil 4,756 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu, tambah beliau dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    “Sementara itu, 4,106 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 60,748 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 39,270 kes,” ujar beliau lagi.

    Pada masa ini, Yang Berhormat Dato berkata bahawa kadar pengisian katil di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 9.2 peratus.

    Dalam pada itu, 309 kes aktif sedang menerima rawatan di pusat-pusat pengasingan dan hospital-hospital, manakala seramai 38,961 kes positif kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

    Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat kelmarin (8 Mac), Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa 57.3 peratus penduduk negara telah menerima tiga dos vaksin, manakala itu, kadar satu dan dua dos adalah masing-masing melebihi 94 peratus.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menyeru orang ramai untuk memohon ke hadrat Allah SWT semoga Negara Brunei Darussalam sentiasa dipelihara dan dilindungi daripada segala mara bahaya, semoga semua rakyat dan penduduknya diberikan kesihatan, dipermudahkan segala urusan dan dijauhkan daripada segala penyakit khususnya penyakit COVID.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menghadiri sidang media, kelmarin. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...