COVID: Labuan wujudkan lima lagi PPV

LABUAN, 16 JUN – Labuan akan mewujudkan lima lagi pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mempercepat pelaksanaan vaksinasi dalam usaha mencapai imuniti kelompok menjelang pertengahan bulan Julai.

Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Labuan Rithuan Ismail berkata pusat vaksinasi baharu yang pertama di Dewan Mutiara, Kolej Matrikulasi Labuan (KML) akan memulakan operasi esok.

Beliau berkata pusat vaksinasi di dewan KML mempunyai kapasiti untuk menginokulasi 1,500 individu sehari selain sejumlah 1,100 inokulasi di pusat sedia ada di dua dewan iaitu di Jabatan Kerja Raya dan Darul Kifayah.

“Kami ingin mempercepat pelaksanaan vaksinasi kepada sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah penduduk Labuan bagi mencapai kelompok imuniti pada pertengahan bulan depan dan menjadi yang pertama dalam negara seperti yang diarahkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa,” katanya kepada pemberita di pusat vaksinasi di dewan KML hari ini.

Rithuan berkata empat lagi pusat vaksinasi baharu yang akan beroperasi ialah di Klinik Kesihatan Taman Mutiara dengan kapasiti 300 orang sehari dan ia akan bermula pada Isnin depan manakala tarikh operasi pusat sama di Dewan Utama, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), dewan Jabatan Bomba dan Penyelamat (Balai Rancha-Rancha) serta klinik kesihatan luar bandar Labuan akan ditetapkan dalam masa terdekat dan bergantung kepada kekuatan petugas kesihatan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata jika semua tujuh pusat vaksinasi (termasuk dua yang sedia ada) beroperasi dengan lancar, kapasiti inokulasi harian boleh dipertingkat kepada 5,000 menjadikan jumlah keseluruhan kepada 120,000 dalam tempoh sebulan. – Bernama

Kakitangan Jabatan Kesihatan Labuan bertugas membuat persiapan terakhir bagi pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu di Dewan Mutiara Kolej Matrikulasi Labuan, semalam. – Bernama