Oleh Nurdiyanah R.
Di sebalik setiap ujian dan cabaran yang ditempuh, pasti terselit kemanisan hikmah yang menanti.
Hal ini jelas terbukti apabila kita menyaksikan impak pandemik COVID yang telah menggoncang dunia dan tidak terkecuali tanah air kita, namun pada saat itulah ia telah mencetus nilai transformasi digital yang semakin bersemarak diaplikasikan dalam kehidupan masyarakat sehingga mampu memanfaatkan teknologi yang dengan penuh inovasi dan juga daya kreativiti.
Semuanya demi satu matlamat untuk sama-sama bangkit dan keluar dari ‘zon merah’ sekali gus meningkatkan prestasi dan perkembangan yang lebih positif bagi kepentingan bersama meliputi aspek ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.
Tidak dapat dinafikan, pandemik COVID telah mempercepatkan transformasi digital yang kini menjadi buzz word sehingga ia telah mengajar kita semua cara menggunakan teknologi; mengubah cara kita bekerja, meliputi komunikasi, mengendali perniagaan dan begitu juga aspek pendidikan; dan juga pelbagai kegiatan harian.
Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Mohd Jaafar pada sesi Perbincangan Interaktif mengenai teknologi, inovasi dan kreativiti semasa Konvensyen Hari Belia 2022 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, baru-baru ini.
“Pastinya dalam meniti transformasi digital ini, bukan mudah untuk mengubah tingkah laku pelanggan. Transformasi digital adalah mengenai pengetahuan dan kemahiran,” tambahnya.
Berbicara mengenai ekonomi kreatif, beliau menjelaskan bahawa ia suatu hal yang juga dikaitkan dengan industri kreatif namun ekonomi kreatif itu meliputi seluruh aspek ekonomi.
“Dalam ekonomi kreatif ini, ia merupakan sebagai usaha menjadikan idea itu boleh dipasarkan sehingga mampu dijadikan nilai ditambah. Ekonomi kreatif ialah masa depan bersama di mana letaknya peluang untuk setiap orang itu mencurahkan sumber ilham dan daya kreativiti masing-masing seperti fesyen, seni, budaya, multimedia dan sebagainya itu sehingga menjadikan lebih bernilai dalam pasaran.
Sementara itu, pengasas bersama jenama tudung tempatan, Aleia, Hajah Nurliyana binti Haji Marsini antaranya turut berkongsi bahawa pandemik COVID juga menjejaskan operasi dan rantaian bekalan mereka.
“Sebelumnya, para pelanggan pernah pergi ke butik dan menyaksikan produk itu sendiri. Walau bagaimanapun, kegiatan ini yang mengalami perubahan drastik pada saat berlakunya pandemik. Oleh itu, kami terpaksa beralih kepada perniagaan dalam talian. Pastinya ia suatu yang bukan mudah kerana cara pelanggan membuat pembelian daripada kami adalah satu cabaran kerana pasaran luar adalah luas.
“Tetapi kami mahu menjadi berbeza daripada orang lain dan kami telah mewujudkan persekitaran pembelian yang berbeza untuk mereka mengingati kami,” ujarnya lanjut.
Beliau turut menambah bahawa mereka bergelut semasa pandemik dan sukar untuk mendapatkan barangan daripada pembekal dan kos penghantaran melambung tinggi. Namun ia juga membawa impak positif di mana orang ramai tidak melakukan perjalanan semasa wabak dan sebaliknya membeli produk secara tempatan.
Sementara itu, Pengasas SuperSquad BN, Awang Faezal Murni, menyatakan semasa pandemik, ia adalah sukar kerana sukan kontak tidak dibenarkan tetapi mereka menghasilkan penyelesaian yang tertumpu kepada sukan bukan sentuhan seperti badminton.
Kongsinya lagi, beliau berkongsi minatnya dalam sukan meningkat apabila beliau berpeluang mengikuti lawatan ke Lembah Silikon anjuran Majlis Pembangunan Ekonomi Brunei (BEDB) untuk menerokai pengalaman dan pengetahuan produk-produk yang telah mencapai kejayaan. Selain itu, beliau turut berkongsi bahawa mereka melancarkan produk mereka di Kota Kinabalu, Sabah tetapi telah dihentikan kerana wabak tersebut.
Manakala Pengerusi ASEAN University Student Network, Dayang Aimuni Suffian turut meluahkan pandangannya bahawa transformasi digital adalah penting terutamanya dalam era Revolusi Industri Keempat (IR4.0) antaranya di saat pandemik, kita lebih banyak berhubung dan bekerjasama dengan rakan kongsi dalam negara mahupun luar negara melalui aplikasi Zoom dan Microsoft.
“Demi sama-sama merealisasikan ‘Belia Siaga Masa Depan’ sebagaimana tema sambutan Hari Belia Kebangsaan tahun ini, maka dalam hal ini empat prinsip kemahiran utama yang perlu diterokai oleh generasi muda sebagai pemimpin anak bangsa dari semasa ke semasa iaitu komunikasi, kerjasama, kreativiti dan pemikiran kritis,” ucapnya tulus.