Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    COVID: Satu kes meninggal dunia

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Sebanyak 1,693 dos vaksin telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama kepada 11,183 dos iaitu 26.1 peratus daripada kanak-kanak di dalam kumpulan umur tersebut.

    Sementara itu, liputan bagi penduduk negara ini yang telah menerima tiga dos vaksin adalah pada kadar 62.8 peratus, menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Menurut beliau lagi, sebanyak 176 kes baharu jangkitan COVID telah dilaporkan hari ini, iaitu 143 kes hasil ujian pantas antigen (ART) dan 33 kes hasil 1,043 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    “Oleh itu, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam setakat ini ialah 140,023 kes,” kata Yang Berhormat Dato.

    Beliau juga mengongsikan bahawa terdapat satu kes yang dikategorikan dalam kategori 5, yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU), manakala itu satu kes dalam kategori 4, yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menjelaskan bahawa sebanyak 236 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 138,403 kes.

    “Jumlah kes aktif pula ialah sebanyak 1,402 kes iaitu 50 kes sedang dirawat di hospital manakala 1,352 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah,” tambah beliau.

    Pada sidang media tersebut, Yang Berhormat Dato telah memaklumkan bahawa satu kes COVID telah meninggal dunia dalam masa 24 jam yang lalu, di mana kes tersebut dikategorikan sebagai kematian disebabkan oleh COVID dan kes ini telah menerima dua dos vaksin.

    Di kesempatan itu, Yang Berhormat Dato mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...