BEIJING, 5 APRIL – Keadaan COVID-19 di metropolis terbesar, Shanghai, China semakin ‘memburuk’ di tengah-tengah perintah berkurung yang dilaksanakan ke atas 26 juta penduduknya, menurut pegawai hari ini.
Pengarah Kumpulan Kerja Pengawalan Epidemik Shanghai, Gu Honghui dipetik akhbar kerajaan sebagai berkata bahawa penularan di bandar itu ‘masih kekal pada tahap tinggi.’
“Situasi masih lagi teruk,” kata Gu.
China sudah menghantar lebih 10,000 petugas kesihatan dari seluruh negara untuk membantu bandar itu, termasuk 2,000 dari pasukan tentera dan ujian saringan besar-besaran dijalankan ke atas penduduk, sebahagiannya sudah pun dikenakan perintah berkurung selama berminggu-minggu.
Kebanyakan kawasan di timur Shanghai yang sepatutnya dibuka semula Jumaat lalu, masih dikenakan perintah berkurung bersama separuh bahagian barat bandar itu.
Pegawai akan menilai semula langkah-langkah pencegahan selepas ujian ke atas semua penduduk dianalisis, kata Gu.
“Sebelum itu, penduduk diminta mematuhi langkah-langkah perintah berkurung semasa dan kekal di kediaman mereka kecuali jika berlaku kecemasan perubatan dan kecemasan lain,” kata Gu. Shanghai melaporkan lebih 73,000 kes positif jangkitan COVID sejak kemunculan semula varian lebih mudah berjangkit, Omicron dalam Mac. – AFP