COVID: Tiga rumah panjang di Sarawak dikenakan PKPD

KUCHING, 3 MEI – Tiga rumah panjang di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

JPBN dalam kenyataan hari ini memaklumkan Rumah Ukam di daerah Julau dikenakan PKPD dari 1 hingga 14 Mei, manakala Rumah Sibat (Betong) dari 4 hingga 17 Mei dan Rumah Robert (Sarikei) dari 5 hingga 11 Mei.

Selain itu tempoh PKPD di Rumah Mut (Julau) dilanjutkan bermula hari ini sehingga 9 Mei, Rumah Malong (Sarikei)  pula dilanjutkan dari 4 hingga 10 Mei dan Rumah Nyawin (Bintangor) 4 hingga 17 Mei.

Sementara itu, hari ini Sarawak merekodkan 356 kes baru COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan 32,047 kes dan dua kematian baharu, sekali gus menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan itu kini 184 orang. – Bernama