Sunday, December 4, 2022
23.3 C
Brunei

-

Cowboys, Yankees pasukan paling berharga

NEW YORK, 13 Julai – Dengan penajaan tertinggi NFL dan pendapatan daripada tempat duduk premium, Dallas Cowboys muncul sebagai pasukan sukan paling berharga di dunia pada Rabu dalam ranking tahunan 50 teratas majalah Forbes.

Nilai Cowboys yang belum memenangi Super Bowl sejak 1996 melonjak lima peratus kepada AS$4.2 bilion untuk mempertahankan kedudukan 2016 mereka. Tahun lepas mereka mengatasi kuasa bola sepak Sepanyol Real Madrid sebagai peneraju senarai global.

NFL 32 pasukan adalah liga terkaya di dunia dengan purata keuntungan operasi AS$91 juta dengan tiada kelab meraih keuntungan kurang daripada AS$26 juta.

Sebab utama perolehan itu adalah pakej terkini televisyen NFL yang memberikan pendapatan tahunan sebanyak AS$7 bilion.

Cowboys juga menawarkan kemudahan latihan dan ibu pejabat bernilai AS$1.5 bilion yang akan menjadi kompleks runcit dan hiburan dengan hotel, pusat perubatan dan pusat konvensyen. Sebuah kelab eksklusif juga menawarkan pelbagai peluang untuk menonton latihan Cowboys.

Hanya tiga kelab NFL yang tidak tersenarai dalam 50 terkaya Forbes iaitu Cincinnati Bengals, Detroit Lions dan Buffalo Bill.

Major League Baseball New York Yankees menduduki tempat kedua dengan perolehan AS$3.7 bilion, peningkatan sembilan peratus daripada tahun lepas. Mereka mempunyai tajaan bernilai AS$120 juta dan pendapatan AS$130 juta tempat duduk kerusi premium, sekali gus terkehadapan dalam liga utama. Secara keseluruhan, lapan kelab liga utama mengungguli senarai Forbes.

Manchester United menduduki tempat ketiga ketiga dengan AS$3.69 bilion, mengatasi Barcelona (AS$3.64 bilion) dan Real Madrid (AS$3.58 bilion). Barca menokok dua peratus untuk menduduki tempat keempat, Real dengan jumlah yang sama secara keseluruhan tetapi di tempat kelima.

Secara keseluruhan, tujuh kelab bola sepak dunia termasuk dalam senarai tersebut antaranya Bayern Munich ke-15 dengan AS$2.71 bilion; Manchester City ke-35 dengan AS$2.083 bilion; Arsenal ke-43 dengan AS$1.93 bilion dan Chelsea ke-46 dengan AS$1.845 bilion.

Juara bertahan Super Bowl New England Patriots berada di tangga keenam dalam senarai dengan perolehan AS$3.4 bilion, melompat enam peratus selepas kejayaan merangkul gelaran NFL.

Kelab NBA yang mendapat perolehan tertinggi secara keseluruhan adalah New York Knicks dengan AS$3.3 bilion, naik 10 peratus tetapi masih lemah di gelanggang dengan kejayaan 31-51.

Mereka gagal mendapat tempat playoff atau menang musim sejak 2013 dan hanya memenangi satu siri playoff sejak tahun 2000.

New York Giants NFL AS$3.1 bilion di tempat kelapan dengan NFL San Francisco 49ers dan NBA Los Angeles Lakers berkongsi tempat kesembilan dengan perolehan AS$3 bilion.

Secara keseluruhan, terdapat tujuh kelab NBA dalam senarai. Juara bertahan Golden State Warriors berkongsi tempat ke-20 dengan NFL Houston Texans untuk perolehan AS$2.6 bilion atau lonjakan nilai sebanyak 37 peratus.

Juara NBA tahun lalu Cleveland Cavaliers tidak termasuk dalam senarai tetapi Brooklyn Nets yang paling buruk dengan 20-62 berkongsi tempat ke-47 untuk AS$1.8 bilion, mendahului NFL New Orleans Saints dan besbol Los Angeles Angels pada AS$1.75 bilion untuk tempat ke-50.

Peningkatan nilai terbesar ialah NFL Los Angeles Rams, dua kali ganda selepas perpindahan dari St. Louis untuk menduduki tempat ke-12 dengan stadium baru yang dimiliki oleh pemiliknya Stan Kroenke akan dibuka pada 2020.

Kroenke juga merupakan pemegang saham terbesar di Arsenal yang menderita dengan kejatuhan teruk 20 tempat dan sahamnya terjejas empat peratus akibat penurunan pound British setelah Britain memilih meninggalkan Kesatuan Eropah.

Dua pasukan jatuh dari senarai tahun lalu ialah Houston Rockets NBA dan pasukan bola sepak Inggeris Liverpool. Tiada pasukan NHL atau pasukan lumba kereta termasuk dalam senarai itu. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China longgarkan lagi peraturan COVID

BEIJING, 2 DIS – Bandar di seluruh China membatalkan arahan sekatan COVID hari ini dengan melonggarkan peraturan ujian dan kuarantin susulan protes di seluruh...
- Advertisment -