Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Aegis Secure Solutions Sdn Bhd telah merasmikan Pusat Pemprosesan Tunai (CPC) yang telah diperbaharui di ibu pejabatnya, hari ini.
Perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Turut sama-sama memotong reben merasmikan pusat berkenaan ialah pengarah-pengarah Aegis, Awang Musa bin Haji Adnin, Awang Ahmad Morshidi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Abdul Rahman dan Dayang Nur Khadijah binti Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif Aegis, Jorge Vega.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Eksekutif Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB), Pengiran Maslina binti Pengiran Haji Mahmud, dan eksekutif-eksekutif kanan dari pelbagai institusi kewangan Brunei.
Majlis perasmian telah disusuli dengan demonstrasi mesin pengira G+D dan perisian baharu, serta melihat kenderaan berperisai, diakhiri dengan jamuan.

Kemudahan tersebut adalah yang terkini dan mematuhi sepenuhnya piawaian perbankan antarabangsa.
Ia kini boleh memuatkan 30 pengendali, mampu memproses jumlah wang kertas dan syiling yang tinggi untuk semua Institusi Kewangan dan peruncit berbilang saiz (kecil, sederhana dan besar) di mana sebelum ini hanya terdapat lima stesen kerja.
Aegis telah memulakan pendigitalan syarikat dengan menggunakan penyelesaian, peralatan dan perisian bertaraf dunia terkini untuk mematuhi piawaian antarabangsa.
Jabatan Perkhidmatan Tunai ialah bahagian pertama yang mencapai pendigitalan penuh, mengurangkan penggunaan kertas sebanyak 90 peratus, membolehkan pengesanan masa nyata perkhidmatan tunai dan memastikan keselamatan dan akauntabiliti maksimum.
Ini telah menghasilkan keputusan yang mengagumkan dengan pengurangan 65 peratus dalam masa pengisian semula ATM/CDM dan pengurangan masa pemprosesan sebanyak 25 minit bagi setiap mesin.
Jorge Vega dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Kami percaya bahawa kami boleh mengubah kitaran tunai di Brunei. Dengan pusat tunai baharu ini, kami mampu mengendalikan semua kitaran tunai awda melalui mod penyumberan luar penuh.
“Kami mempunyai visi rangkaian ATM unik berpusat untuk semua bank di seluruh negara, di mana bank tidak perlu lagi menguruskan ATM dan setiap warganegara boleh pergi ke mana-mana ATM untuk mengeluarkan atau mendepositkan wang tunai dengan minimum atau tanpa masa berhenti. Anda menjalankan perniagaan, biarkan kami mengendalikan wang tunai anda,” ujarnya.
Jorge Vega juga secara rasmi mengumumkan pelaburan dan usaha niaga Aegis di Filipina dengan penambahan Aegis Corporation kepada payung Aegis, dengan menyatakan “ini menunjukkan bahawa syarikat Brunei tidak ditahan oleh sempadan negara tetapi boleh memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan di luar negara dan memindahkan kepakaran kami.”
Aegis Corporation sudah pun beroperasi dan memberi perkhidmatan kepada pelanggan di Cebu dan pelbagai pulau. Filipina dianggarkan mempunyai populasi 23,000 ATM yang menjadikannya satu usaha yang sangat menarik untuk Aegis.